
Percubaan seorang penunggang motosikal melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) membawa padah apabila dia berjaya ditahan selepas menyorok di kawasan semak.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.00 tengah hari pada Khamis di KM2 Jalan Kampung Bahagia – Kampung Gajah.
Menurut akaun Facebook BSPT IPD HILIR PERAK, penunggang motosikal tersebut tiba-tiba memecut dan cuba meloloskan diri apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
Bertindak pantas, dua anggota polis Lans Koperal Syamir dan Konstabel Danial dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Hilir Perak, segera melancarkan operasi pengesanan.
“Usaha itu membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan di kawasan semak di Taman Sejati Water Front Teluk Intan tidak lama kemudian.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan insurans tamat tempoh, malah penunggang tiada lesen memandu serta kenderaan itu telah diubah suai secara ekstrem,” menurut kenyataan.
Pihak berkuasa menyita motosikal berkenaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.
“Tindakan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain,” ujarnya.