
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan purata penggunaan petrol RON95 melalui Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi setiap pengguna adalah 98 liter sahaja sepanjang Oktober lalu.
Beliau berkata ia hanya mewakili 33 peratus sahaja berbanding 300 liter had bulanan yang ditetapkan melalui BUDI95.
“Adakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja iaitu 33 peratus daripada kelayakan.
“Mereka yang membelanjakan lebih 300 liter hanya 0.7 peratus sahaja,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena binti Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan BUDI95.



