Polis tembak mati penjenayah di Dengkil

30

Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting – Dengkil, Dengkil, Selangor malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) JSJ Bukit Aman terserempak sebuah Perodua Mayvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Dengkil pada 8.10 malam tadi.

Katanya, pihaknya ketika itu melakukan operasi mengesan dan mencegah kejadian jenayah samun di sekitar kawasan Banting, Dengkil dan Sepang, Selangor.

“Ketika pasukan serbuan cuba menahan (kenderaan itu), suspek tiba-tiba bertindak melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis. Polis kemudian membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.

“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan, namun tiada sebarang pengenalan diri dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk senjata api jenis Colt 45, tujuh paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah dan tiga butir peluru.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihaknya berhubung kes berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here