Porsche Carrera GT 20 tahun dibaik pulih penuh, bergaya dengan Salzburg Design ala 917 Le Mans 1970

8

Porsche Sonderwunsch Manufaktur sekali lagi membuktikan kecemerlangan menerusi projek Factory Re-Commission yang unik, melibatkan sebuah Porsche Carrera GT berusia 20 tahun.

Model ikonik ini bukan sahaja dipulihkan ke keadaan seperti baharu, malah diberikan skema rekaan Salzburg Design klasik yang diinspirasikan daripada Porsche 917 yang memenangi perlumbaan 24 Jam Le Mans 1970.

Pemiliknya, Victor Gómez dari Puerto Rico, memilih untuk mengolah semula Carrera GT model tahun 2005 miliknya secara menyeluruh.

Hasilnya ialah sebuah Carrera GT dengan baik pulih lengkap, digabungkan dengan sentuhan visual dan dalaman tersendiri.

Asal-usul Salzburg Design

Salzburg terkenal sebagai bandar bersejarah, namun bagi peminat sukan permotoran, ianya sinonim dengan skema warna merah dan putih Porsche 917.

Pada tahun 1970, Hans Herrmann dan Richard Attwood menghadiahkan kemenangan keseluruhan pertama Porsche di Le Mans menggunakan 917 short-tail bernombor 23.

Ketika itu, dua unit Porsche 917 disediakan pengedar Porsche Alpenstraße dari Salzburg, Austria untuk perlumbaan di litar Sarthe, termasuk jentera yang muncul juara.

Reka bentuk ini kemudiannya dikenali sebagai Salzburg Design.

Carrera GT Dibaik Pulih Dari Asas

Untuk projek ini, perkakasan Carrera GT ditanggalkan sepenuhnya.

Semua perkakasan teknikal utama, termasuk enjin V10 dibaik pulih dari peringkat asas.  Bahagian karbon disalut semula bagi memastikan keadaan kembali seperti baharu.

Model yang asalnya berwarna perak kemudiannya dicat semula mengikut skema Salzburg Design merah dan putih.

Proses ini mencabar kerana bentuk, dimensi dan jurang badan Carrera GT sangat berbeza daripada Porsche 917 dan memerlukan penyesuaian reka bentuk yang teliti agar sepadan dengan rekaan kereta tersebut.

Luaran Merah Putih Ikonik

Proses reka bentuk bermula dengan lakaran dan visualisasi digital.

Bagi memastikan aliran garis yang tepat, pereka Grant Larson bersama pasukannya menampal pita pada badan kereta sebelum menghasilkan templat akhir cat.

Permukaan badan dicat tangan dalam warna Guards Red dan putih, lengkap dengan nombor 23.

Cat itu kemudian dilindungi lapisan filem lutsinar kerana Victor Gómez tidak mahu menyimpannya sahaja, beliau merancang untuk memandu Carrera GT ini di jalan raya Puerto Rico.

Sentuhan karbon hitam kusam digunakan pada bumbung, tiang A dan B, penutup cermin sisi, saluran udara hadapan serta penyebar belakang.

Gril penutup enjin bersalut anod hitam kusam, manakala rim aloi lima jejari asal dicat hitam dan dipadankan dengan logo Porsche berwarna.

Dalaman Alcantara Guards Red & Karbon Kusam

Bahagian dalam turut diperhalusi mengikut kehendak pemilik.

Sejumlah permukaan dibalut Alcantara Guards Red, termasuk bahagian papan pemuka, panel pintu, stereng dan konsol tengah.

Malah, kemasan ruang simpanan hadapan serta set bagasi juga menggunakan bahan sama.

Sebagai kontras kepada warna merah, karbon kusam digunakan pada cangkerang kerusi, penutup saluran udara dan penutup instrumen. ‘

Panel tengah, bahagian sisi dan perehat kepala kerusi menggunakan fabrik FIA hitam daripada Porsche 918 Spyder, iaitu fabrik perlumbaan yang tidak mudah terbakar.

Porsche Carrera GT & Program Factory Re-Commission

Porsche Carrera GT yang dilancarkan pada 2003 pernah menjadi antara kereta produksi terpantas dunia dengan kelajuan maksimum 330 km/j.

Kerangka karbon dan enjin terletak di tengah berasaskan teknologi perlumbaan, termasuk enjin 5.7 liter V10 yang asalnya dibangunkan untuk perlumbaan 24 Jam Le Mans.

Enjin V10 itu menghasilkan 612 PS dengan berat kereta hanya 1,380 kg.

Melalui program Factory Re-Commission Sonderwunsch, Porsche menawarkan baik pulih penuh untuk kereta pelanggan, termasuk model klasik.

Setiap kereta projek dikembalikan ke keadaan sifar kilometer dengan dokumentasi lengkap dan warna serta bahan luaran dan dalaman boleh disesuaikan mengikut citarasa pemilik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here