
Lancia secara rasmi telah membuka lembaran baharu dalam sejarah sukan bermotor dengan memperkenalkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale di ibu pejabat Stellantis Motorsport yang terletak di Satory, Perancis.
Jentera ini dijadualkan untuk bersaing dalam kategori WRC2 pada Kejohanan Rali Dunia FIA 2026.
Lancia mempunyai sejarah cemerlang dalam perlumbaan dengan rekod 11 Kejuaraan Pengeluar Rali Dunia FIA, satu kemenangan di Mille Miglia, dua kemenangan di Targa Florio serta satu kejuaraan di Carrera Panamericana.
Pembangunan Teknikal dan Pusat Kecemerlangan
Pusat utama bagi projek ini terletak di Satory iaitu ibu pejabat Stellantis Motorsport.
Program WRC2 Lancia terhasil daripada usaha pembangunan bersama yang meluas antara Lancia dan Stellantis Motorsport dengan membawa kepakaran teknikal yang dikumpul selama lebih sedekad dalam kategori Rally2.
Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale menggunakan enjin Lancia Corse HF berkapasiti 1.6 liter dengan sistem pengecas turbo.
Enjin ini mematuhi peraturan FIA dengan penggunaan sekatan udara bersaiz 32 mm.
Dari segi prestasi, enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 287 hp pada 5,000 rpm dan tork maksimum sebanyak 425 Nm pada 4,000 rpm.
Sistem rangkaian kuasa ini turut menampilkan pengurusan turbo yang berasal daripada seni bina Peugeot 9X8 serta sistem anti lengah yang baharu.
Bagi sistem transmisi, jentera ini menggunakan sistem Integrale atau pacuan empat roda yang dipadankan dengan kotak gear berjujukan Sadev lima kelajuan dengan kawalan manual.
Pasukan Lancia Corse HF dan Barisan Pemandu
Pasukan Lancia Corse HF akan mendaftarkan dua buah jentera secara rasmi untuk musim WRC2 2026.
Operasi pasukan dikendalikan oleh PH Sport dengan sokongan daripada rakan kerjasama iaitu Yacco dan Sparco.
Didier Clément yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia rali akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengetua Pasukan.
Bagi barisan pemandu, Lancia mempertaruhkan dua individu yang mempunyai rekod cemerlang dalam sukan rali antarabangsa.
Yohan Rossel yang berumur 30 tahun merupakan pemandu dari Perancis yang mempunyai pencapaian sebagai Naib Juara Dunia WRC2 pada tahun 2025 serta Juara Dunia WRC3 pada tahun 2021.
Beliau juga merupakan pemenang Kejuaraan Perancis tahun 2019, Juara Citroën Racing Trophy tahun 2016 serta Juara Remaja Perancis tahun 2014.
Manakala Nikolay Gryazin yang berumur 28 tahun merupakan pemandu dari Bulgaria yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Di antara pencapaian utama beliau adalah Juara WRC2 Challenger tahun 2025 serta Naib Juara Dunia WRC2 Challenger bagi tahun 2024 dan 2023.
Beliau juga pernah memenangi gelaran Juara Latvia pada tahun 2020 serta Juara Remaja ERC pada tahun 2018.
Sasaran Masa Depan dan Program Pelanggan
Lancia akan membuat kemunculan sulung rasmi dalam FIA WRC2 pada tahun 2026 dengan menyertai sekurang kurangnya lapan acara rali bermula dengan Rallye Monte Carlo pada 22 hingga 25 Januari 2026.
Selain kejohanan dunia, jentera ini juga akan bersaing dalam Kejohanan Rali Eropah serta kejuaraan nasional di Itali, Perancis, Sepanyol dan Belgium.
Ypsilon Rally2 HF Integrale bersama model Rally4 HF dan HF Racing merupakan sebahagian daripada Program Perlumbaan Pelanggan yang bertujuan menjadikan sukan rali lebih mudah diakses.
Setakat ini, lebih daripada 40 unit jentera telah dipesan dengan penghantaran pertama dijadualkan pada suku pertama tahun 2026.
Spesifikasi Teknikal Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale
- Model asas Lancia Ypsilon dengan homologasi kategori FIA Rally2
- Enjin Lancia Corse HF 1.6 liter pengecas turbo dengan sesaran 1,598 cc dan sekatan udara 32 mm. Tangki bahan api 80 liter
- Kuasa maksimum 287 hp pada 5,000 rpm dengan tork maksimum 425 Nm pada 4,000 rpm
- Unit kawalan elektronik ECU Marelli dengan pemetaan enjin khusus Lancia Corse HF
- Sistem pacuan empat roda Integrale dengan kotak gear berjujukan Sadev 5 kelajuan dan klac serametalik cakera kembar
- Sistem brek cakera berventilasi 355 mm bagi permukaan tar dan 300 mm bagi kerikil dengan angkup Alcon 4 omboh
- Suspensi jenis McPherson dengan penyerap hentak Reiger boleh laras 3 hala serta rak stereng hidraulik sukan bermotor
- Panjang 4,070 mm, lebar 1,820 mm dan jarak roda 2,550 mm
- Berat minimum 1,230 kg tanpa kru atau 1,390 kg bersama kru
- Rim bersaiz 8×18 untuk permukaan tar dan 7×15 untuk kerikil dengan penggunaan tayar Michelin

































