
Beberapa laluan utama sekitar Bukit Bintang akan ditutup sementara pada 1 dan 3 Januari depan bagi memberi laluan kepada penganjuran Festival ‘I LITE U’, acara pembuka tirai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penutupan jalan itu melibatkan raptai penuh pada 1 Januari bermula jam 6 petang hingga selesai.
Menurutnya, seramai 20 kontinjen akan terlibat dalam perarakan tersebut termasuk tujuh kontinjen pancaragam yang akan berarak dari Pavilion ke hadapan Hotel Federal sejauh kira-kira 900 meter hingga ke persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
Katanya, pihak Pavilion dan penganjur akan menyediakan pelekat khas kepada kenderaan VIP dan VVIP bagi tujuan parkir, manakala semua urusan penutupan jalan akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).




























