
Proton X70 kembali memperbaharui penawaran dalam segmen SUV tahun 2026 dengan perubahan paling ketara pada bahagian enjinnya.
Model itu kini menggunakan enjin 1.5 liter i-GT empat silinder turbo, iaitu enjin sama yang diperkenalkan pada Proton X50 versi 2024.
Penggunaan enjin baharu ini menggantikan enjin GEP 1.5 liter tiga silinder turbo sebelum ini. Walaupun kapasiti masih sama, prestasinya lebih meyakinkan.
Enjin baharu lebih berkuasa dan jimat minyak
Dari segi kuasa, Proton X70 2026 menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, berbanding 177 PS dan 255 Nm pada model terdahulu. Ia masih menggunakan transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan DCT.
Tahap penggunaan bahan api juga lebih jimat sebanyak 5.5 peratus berbanding model sebelum ini, dengan catatan 6.9L/100 km.
Sistem suspensi turut mendapat perhatian dengan penambahbaikan pada kekuatan hentakan di gandar belakang, kestabilan olengan serta pengurangan bunyi jalan pada frekuensi rendah hingga sederhana. Stereng juga menerima talaan baharu untuk memberi tindak balas yang lebih baik.
Rekaan masih sama seperti model sebelum ini
Dari segi rekaan, Proton X70 2026 kekal dengan rupa model facelift 2024. Tiada perubahan pada bampar, lampu atau gril.
Bahagian dalaman turut mengekalkan susunan yang sama, namun Proton menambah baik suasana kabin melalui tempat duduk kulit hitam dengan kemasan merah bagi memberi sentuhan lebih sporty.
Skrin infotainmen 12.3 inci terus menjadi ciri utama, lengkap dengan Android Auto, Apple CarPlay dan fungsi arahan suara.
Lebih Senyap
Selain itu, Proton X70 2026 dipertingkatkan dari segi kedapan bunyi untuk memberi ketenangan kepada pemandu serta penumpang.
Sejarah Proton X70 di Malaysia
Melihat perjalanan X70 sejak kemunculannya, model ini sebenarnya telah melalui tiga generasi enjin.
Proton mula memperkenalkannya pada 2018 sebagai model CBU dari China dengan enjin 1.8 liter turbo bersama transmisi automatik enam kelajuan.
Pada 2020, versi CKD diperkenalkan dengan peningkatan kepada transmisi tujuh DCT. Dua tahun kemudian, enjin 1.5 liter tiga silinder turbo diperkenalkan bagi varian yang lebih rendah.
Pada 2024, semua varian X70 facelift menggunakan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo. Untuk tahun 2026, X70 kembali ke konfigurasi empat silinder dengan enjin i-GT yang lebih kuat serta lebih jimat minyak.
Proton X70 2026 ditawarkan dalam dua varian
Bagi harga pengenalan, kedua-dua varian itu menerima rebat sehingga RM7,000.
Proton X70 Premium: RM112,800
Proton X70 Executive: RM99,800
Sekiranya tiada rebat, harga Proton X70 2026 dijual pada harga RM118,800 (Premium) dan RM106,800 (Executive).
Malah buat 1,500 pemilik pertama akan menerima pakej aksesori secara percuma sebelum 31 March ini membabitkan pelapik but, penghadang matahari (sunshade) dan visor pintu.
Empat pilihan warna disediakan iaitu putih, perak, kelabu dan biru.
Sementera itu, Proton X70 2026 ditawarkan dengan lima tahun jaminan tanpa had jarak kilometer dengan enam kali percuma kos servis khidmat buruh.
































