
Bermula esok, kira-kira 1,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda akan berkumpul sempena himpunan solidariti dan kemanusiaan ‘Drive For Gaza 1.0’ di Kuala Terengganu, Terengganu.
Digerakkan oleh DVAC Malaysia selaku penganjur utama, himpunan itu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan penduduk di Semenanjung Gaza yang berdepan keganasan dan kezaliman berpanjangan oleh regim Zionis.
Pengerusi DVAC Malaysia, Khairul Badri Abdul Basit berkata, perhimpunan berkenaan mendapat kerjasama Muslim Care Malaysia dan sokongan penuh komuniti 4X4 Malaysia,
“Himpunan ‘Drive For Gaza 1.0’ menekankan nilai kemanusiaan sejagat dan bukan bersifat politik.
“Kita anggarkan kira-kira 1,000 kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara akan menyertai himpunan ini.
“Peserta akan mula berkumpul di perkarangan Jambatan Angkat atau Drawbridge pada jam 8.00 pagi sebelum memandu secara konvoi kira-kira 20 kilometer sekitar bandar Kuala Terengganu,” katanya.

Khairul Badri memaklumkan, perhimpunan itu bukan sekadar satu acara, tetapi satu seruan kemanusiaan dengan membawa mesej yang jelas bahawa Gaza tidak perlukan simpati, tetapi menuntut tanggungjawab kita sebagai saudara Islam mereka.
Katanya, program berkenaan turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Terengganu, dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan negeri serta kehadiran tetamu jemputan rasmi.
“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijadualkan hadir merasmikan perhimpunan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha kemanusiaan dan solidariti rakyat Terengganu bersama Gaza,” jelasnya.

Antara pengisian program, katanya, tayangan visual situasi sebenar Gaza melalui LED Screen, forum Palestin bersama Ustaz Azhar Idrus, forum Global Sumud Flotila dan gerai jualan makanan.
Perhimpunan itu juga menandakan permulaan kepada misi ‘Drive For Gaza Global’ – satu inisiatif kemanusiaan berterusan bertujuan menyatukan NGO dan komuniti di peringkat nasional serta antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan secara telus melalui saluran dipercayai.
“Kita menjemput seluruh rakyat Malaysia hadir dan bersama-sama menyatakan solidariti serta tanggungjawab kemanusiaan terhadap rakyat Gaza,” katanya.
Menggunakan tagline rasmi ‘Dari Nusantara Kita Bermula, Di Gaza Kita Bersatu’, penganjuran kali pertama himpunan itu diharap dapat meningkatkan semangat rakyat Malaysia terhadap perjuangan panjang warga Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka.