
UMW Toyota meneruskan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menjayakan inisiatif Toyota Eco Youth 2026 (TEY 2026) untuk tahun ke-25.
Program ini menggabungkan pendidikan alam sekitar dengan aksi komuniti demi masa depan lestari.
Untuk edisi TEY 2026, sebanyak 30 sekolah terpilih daripada 327 permohonan penyertaan diterima pihak penganjur.
Program TEY 2025 bukan hanya pertandingan tetapi menjadi platform pertama dalam pembentukan karakter, kemahiran dan semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Program ini membuka ruang untuk golongan muda menterjemahkan ilham mereka kepada tindakan nyata demi kesejahteraan alam sekitar dan komuniti tempatan.
Bermula 30 hingga 31 Mac lalu, para pelajar dan guru penasihat mengikuti bengkel khas bagi membentuk peserta dengan kemahiran analitik, penyelesaian masalah serta kebolehan merangka projek yang realistik dan lestari.
Setiap sekolah tersenarai menerima dana permulaan RM3,000 untuk melaksanakan projek masing-masing.
Penilaian Projek yang Menyeluruh
Untuk memastikan impak yang sebenar dan menyeluruh, setiap projek akan dinilai berdasarkan empat komponen utama:
- Pelaksanaan di Lokasi (40%) – Menilai keberkesanan projek dalam situasi sebenar.
- Pembentangan Projek (20%) – Melihat kualiti naratif dan cara penyampaian idea.
- Pameran Projek (20%) – Mengukur kreativiti serta keupayaan visual dalam menyampaikan mesej projek.
- Penglibatan Komuniti & Media Sosial (20%) – Menilai keterlibatan masyarakat dan kehadiran digital projek.
Hanya 15 pasukan terbaik bakal mara ke peringkat akhir yang akan menentukan pemenang utama melalui pembentangan akhir dan pameran projek.

Seiring falsafah “Move Your World”, program ini bukan sahaja mendidik pelajar mengenai alam sekitar, tetapi juga melatih mereka menjadi pencetus transformasi dalam masyarakat.
Setiap inisiatif dihasilkan oleh pelajar mencerminkan visi Toyota terhadap mobiliti dan kelestarian yang digerakkan oleh komuniti.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K menyatakan penghargaan terhadap semangat tinggi ditunjukkan pelajar,
“Melalui TEY 2026, kami menyaksikan bagaimana generasi muda tidak hanya mengimpikan dunia yang lebih baik, malah mereka berusaha membentuknya dengan penuh komitmen.
“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan transformatif ini,” katanya.
TEY 2026 menawarkan hadiah wang tunai RM80,000 – di samping pembiayaan RM3,000 bagi setiap pasukan – menjadikan jumlah keseluruhan tajaan Toyota bagi program ini sebanyak RM170,000.
Juara akan menerima RM30,000 manakala tempat kedua pula mendapat RM20,000.
Pasukan di tempat ketiga bakal membawa pulang RM10,000.
Selepas penilaian akhir membabitkan 30 pasukan dilakukan, hanya 15 pasukan terbaik akan meneruskan cabaran di peringkat akhir yang berlangsung antara 2 hingga 4 November ini di ibu negara.
Untuk maklumat lanjut berkaitan TEY 2026, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi https://www.toyota.com.my/toyotaecoyouth/.






























