
UMW Toyota Motor rasmi melancarkan Toyota bZ4X baharu yang menjadi model mercu dalam siri Toyota bZ BEV (Battery Electric Vehicle) pada harga RM220,000.
Perkataan ‘bZ’ bermaksud Beyond Zero yang menampilkan penggayaan bertemakan ‘Hi-Tech and Emotion’ menerusi bentuk hadapan tiga dimensi ‘hammerhead’ yang menjadi identiti siri bZ.
Berikut fakta ringkas tentang Toyota bZ4X :
- Berdasarkan pengalaman lebih 25 tahun dalam teknologi bateri, Toyota membangunkan bateri litium-ion dengan kapasiti 73.1 kWh.
- Jurutera menetapkan sasaran pengekalan kapasiti sebanyak 90 peratus selepas 10 tahun/250,000km penggunaan. Bateri ini disejukkan menggunakan air untuk mengekalkan suhu operasi optimum.
- Motor elektrik di hadapan menjana kuasa 167kW dan tork 269Nm untuk memberikan pecutan responsif.
- Pemandu mempunyai pilihan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Eco.
- Dengan bateri yang dicas penuh, bZ4X boleh bergerak sejauh 525km.
- Pengecasan pula menggunakan jenis DC sehingga 150kW yang membolehkan isian bateri di tahap 80 peratus hanya dalam tempoh 30 minit. Pengecas dalaman (on-board charger) 22 kW juga tersedia untuk prestasi pengecasan menggunakan bekalan kuasa AC.
- Bahagian bawah badan kenderaan ditutup sepenuhnya untuk melancarkan aliran udara bagi mengurangkan seretan yang disebabkan oleh gelora udara.
- Ciri tambahan seperti spoiler bumbung dengan bahagian tengah yang rata dan spoiler belakang jenis ducktail membantu menguruskan aliran udara untuk merendahkan rintangan. Ini membolehkan bZ4X mencapai pekali seretan yang rendah iaitu 0.27 Cd.
- bZ4X didatangkan dengan lampu LED berteknologi tinggi serta rim aloi 20 inci dengan tayar bersaiz 235/50R20.
- Kabin pula menampilkan konsol tengah di antara tempat duduk dengan ‘digital island’ yang menghimpunkan kawalan penting di lokasi yang mudah dicapai, termasuk pengawal gear jenis dail.
- Infotainmen dan ketersambungan dikendalikan oleh paparan tengah resolusi tinggi 14 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto. Sistem ini juga mempunyai fungsi pengecaman suara yang dipertingkatkan.
- Modul kokpit yang ringkas terdiri daripada panel grafik 7-inci dengan paparan pelbagai maklumat.
- Manakala pedal shifter pada stereng bukanlah untuk menukar gear, sebaliknya digunakan untuk mengawal tahap brek regeneratif yang memulihkan tenaga semasa membrek dan memindahkannya ke bateri.
- Tempat duduk hadapan mempunyai pelarasan kuasa 8-arah, dengan sokongan lumbar 2-arah untuk pemandu. Tempat duduk hadapan menggunakan kulit sintetik berliang dan dilengkapi sistem pengudaraan terbina dalam.
- Sistem penyaman udara pula dipertingkatkan dengan penjana ion nanoeX yang membersihkan udara dan menghilangkan bau sehingga ke permukaan fabrik dan karpet kaki.
- Ciri peralatan lain termasuklah lampu ambien 64 warna dan bumbung kaca panoramik.
- bZ4X adalah model Toyota pertama yang menggunakan e-TNGA, versi khusus BEV bagi Toyota New Generation Architecture (TNGA). Penggunaan e-TNGA meletakkan bateri di kedudukan lebih rendah, menghasilkan pusat graviti rendah dan ketegaran kenderaan serta pengendalian lebih baik.
- Kenderaan ini dilindungi oleh waranti 5-tahun/perbatuan tanpa had, manakala bateri mempunyai waranti selama 8-tahun/perbatuan tanpa had.
KESELAMATAN
Toyota bZ4X dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang menggunakan sensor radar dan kamera. Sistem aktif utama termasuk:
- Pre-collision System (PCS)
- Full-Speed Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
- Lane Tracing Assist (LTA)
- Adaptive High-beam System (AHS)
- Blind Spot Monitor (BSM)
Sistem keselamatan pintar lain termasuk Intelligent Parking Assist (bantuan parkir automatik), Parking Support Brake (brek automatik jika ada halangan semasa parkir), dan Safe Exit Assist (SEA) yang memberi amaran jika pintu dibuka ketika ada kenderaan menghampiri dari belakang.
Ia juga mempunyai Road Sign Assist (RSA) yang memaparkan had laju pada panel instrumen dan Panoramic View Monitor 360-darjah. Untuk keselamatan pasif, ia dilengkapi dengan lapanbeg udara SRS, termasuk beg udara tengah hadapan.






























