
Kerajaan MADANI bersetuju menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan ia akan disalurkan pada 21 April ini.
“BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
“BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan,” katanya.
Menerusi insentif berkenaan, MoF dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel.
Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.
MoF memaklumkan bahawa syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.
Sehubungan itu, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
“Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat,” katanya.































