
Nissan Motor Co., Ltd. melancarkan Kicks di Jepun dengan jualan bermula pada 18 Jun 2026 Model ini menampilkan reka bentuk luaran yang berani dan dinamik, ruang dalaman bermutu dan kini ditawarkan dengan sistem e-POWER generasi ketiga.
Di samping itu, teknologi kawalan semua roda elektrik e-4ORCE diperkenalkan buat kali pertama dalam rangkaian varian Kicks.
Kicks terbaharu ini merupakan model generasi baharu yang berbeza sepenuhnya dan bukan seperti model generasi pertama yang berada di pasaran Asean termasuk Malaysia ketika ini.
Peningkatan Prestasi dan Kesenyapan Kabin
Kicks menampilkan rangkaian kuasa elektrik 5-in-1 e-POWER yang baharu dibangunkan buat kali pertama di pasaran Jepun.
Unit ini menyatukan lima komponen teras iaitu motor, penjana, penyongsang, pengecil dan peningkat, yang menghasilkan reka bentuk lebih kompak, peningkatan ketegaran serta pengurangan berat.
Digabungkan dengan enjin khas penjanaan kuasa 1.4 liter HR14DDe, keseluruhan trenkuasa mencapai kecekapan bahan api dan kesenyapan yang dipertingkatkan.
Model ini juga dilengkapi dengan teknologi kawalan semua roda pemanduan elektrik e-4ORCE daripada Nissan.
Dengan menyepadukan output motor tork tinggi bersama kawalan brek, sistem ini memberikan prestasi mengambil selekoh yang responsif serta pemanduan yang lancar dan selesa.
Selain itu, badan kenderaan yang mempunyai ketegaran tinggi dan suspensi reka bentuk baharu menyumbang kepada pengendalian yang stabil semasa mengambil selekoh serta mengurangkan getaran di atas permukaan jalan yang tidak rata.
Fungsi Snow Mode yang tersedia pada model e-4ORCE turut diperkenalkan buat kali pertama bagi membolehkan pemanduan dengan penuh yakin dalam pelbagai keadaan termasuk jalan bersalji.
Rangkaian Kuasa e-POWER Generasi Ketiga dan e-4ORCE
Kicks membawakan pembaharuan menyeluruh dari segi mekanikal melalui pengenalan pacuan roda hadapan 2WD dan pacuan semua roda elektrik 4WD e-4ORCE.
Enjin penjana kuasa 1,433cc 3-silinder menghasilkan kuasa maksimum 98ps dan tork 115Nm.
Enjin tersebut tidak memacu roda secara fizikal tetapi bertindak sepenuhnya sebagai unit penjanaan tenaga untuk membekalkan kuasa kepada bateri utama jenis litium-ion.
Bagi menggerakkan kenderaan, roda hadapan untuk kedua dua sistem pacuan dipacu oleh motor elektrik hadapan dengan kod YM52 yang menghasilkan tork maksimum 315Nm.
Varian 2WD menghasilkan kuasa maksimum 105kW pada 4,600 hingga 10,700rpm dengan tork maksimum pada 0 hingga 2,700rpm.
Sementara itu, varian 4WD menghasilkan kuasa maksimum 105kW pada 4,800 hingga 10,700rpm dengan tork maksimum pada 0 hingga 2,000rpm.
Bagi varian yang dilengkapi sistem kawalan semua roda elektrik 4WD e-4ORCE, tambahan motor elektrik belakang berupaya menjana kuasa maksimum 50kW serta tork maksimum 140Nm.
Reka Bentuk Luaran Dinamik dan Ruang Dalaman Premium
Bahagian fasia hadapan mendapat inspirasi daripada topi keledar bola sepak Amerika yang menampilkan gril mendatar yang lebar dan lampu signatur yang tersendiri.
Pada varian tertinggi iaitu gred G, komponen luaran seperti bampar menerima kemasan hitam berkilat premium.
Sementara itu, gred X, X+, dan X Simple Package menyuburkan corak dimple (poligon) unik yang diinspirasikan oleh tapak kasut sukan pada bampar hadapan, bendul sisi dan bampar belakang.
Di bahagian belakang, grafik hitam berbentuk segi empat tepat yang tersendiri dan lampu belakang dengan kelebaran penuh menekankan kehadiran SUV.
Ruang dalaman menyediakan ruang yang moden, terbuka, dan selesa.
Bahan sentuhan lembut seperti kulit sintetik dan fabrik digunakan pada panel instrumen, konsol tengah, dan trim pintu untuk meningkatkan kualiti.
Kabin ini juga menawarkan ruang lutut, ruang kepala dan kelebaran tempat duduk belakang yang dimaklumkan Nissan mendahului kelasnya.
Zero gravity seats digunakan untuk kedua dua tempat duduk hadapan dan tempat duduk sisi belakang bagi meningkatkan keselesaan penumpang.
Di samping itu, sistem maklumat hibur NissanConnect dengan Google terbina dalam dan antara muka paparan bersepadu 12.3 inci (bergantung pada gred) meningkatkan kebolehgunaan intuitif.
Satu warna luaran baharu iaitu Resonance Blue diperkenalkan yang menampilkan nada biru tulen yang lancar dengan sorotan terang. Sebanyak sembilan warna badan termasuk pilihan dua nada kini tersedia.
ProPILOT untuk semua varian
Di bawah sistem Nissan 360° Safety Assist, ciri ProPILOT terus menjadi kelengkapan standard bagi semua gred.
Sistem Intelligent Around View Monitor kini menampilkan fungsi Front Wide View, Invisible Hood View, dan 3D View, yang membantu menggambarkan titik buta seperti persimpangan yang terhalang dan kawasan yang tersembunyi oleh hud hadapan.
Sistem Intelligent Emergency Braking juga telah dipertingkatkan dengan menambah baik pengesanan pejalan kaki, kenderaan dari arah bertentangan, dan trafik lintasan di persimpangan jalan untuk membantu mengelakkan perlanggaran.
Selain itu, Intelligent Blind Spot Intervention (I-BSI) dan Blind Spot Warning (BSW), serta Rear Cross Traffic Alert (RCTA) turut diguna pakai buat kali pertama untuk memperkukuh keselamatan bahagian sisi belakang
Harga Jualan Nissan Kicks 2026 di Jepun
Kicks Pacuan 2WD:
- X Simple Package: ¥2,999,700 (RM76,432)
- X: ¥3,259,300 (RM83,047)
- X+: ¥3,549,700 (RM90,446)
- G: ¥3,898,400 (RM99,331)
Kicks Pacuan 4WD (e-4ORCE):
- X e-4ORCE Simple Package: ¥3,349,500 (RM85,345)
- X e-4ORCE: ¥3,599,200 (RM91,708)
- X+ e-4ORCE: ¥3,899,500 (RM99,359)
- G e-4ORCE: ¥4,248,200 (RM108,244)
Spesifikasi Rangkaian Kuasa Nissan Kicks 2026 Jepun
Enjin Penjana Kuasa (Sama untuk 2WD & 4WD)
- Kod Enjin: HR14DDe
- Jenis: DOHC penyejuk cecair sejajar 3-silinder
- Isi Padu Enjin: 1.433L
- Nisbah Mampatan: 13.0
- Kuasa Maksimum: 98ps @ 6,000rpm
- Tork Maksimum: 115Nm @ 6,000rpm
- Sistem Bekalan Bahan Api: Nissan Di
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 45L
Motor Elektrik Depan (Sama untuk 2WD & 4WD)
- Kod Motor: YM52
- Jenis: Motor segerak arus ulang-alik
- Kuasa Maksimum (2WD): 105kW @ 4,600-10,700rpm
- Kuasa Maksimum (4WD): 105kW @ 4,800-10,700rpm
- Tork Maksimum (2WD): 315Nm @ 0-2,700rpm
- Tork Maksimum (4WD): 315Nm @ 0-2,000rpm
- Jenis Bateri: Litium-ion 2.1kWj
Motor Elektrik Belakang (Eksklusif untuk 4WD)
- Kod Motor: MM48
- Jenis: Motor segerak arus ulang-alik
- Kuasa Maksimum: 50kW @ 3,500-10,000rpm
- Tork Maksimum: 140Nm @ 0-3,330rpm
- Jenis Bateri: Litium-ion 2.1kWj









































