
Tindakan seorang penunggang motosikal Rohingya yang dipercayai mengabaikan arahan pegawai penguat kuasa membawa padah apabila ditahan dalam operasi JPJ di KM 1, Serdang, pada Khamis.
Pemeriksaan mendapati lelaki yang merupakan pemegang kad UNHCR itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) motosikal, memandu secara tidak berhemah serta gagal memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.
“Turut dikesan beberapa kesalahan teknikal pada motor tersebut menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil dan notis saman dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pihak berkuasa turut menyita motosikal terbabit bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
JPJ menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta tidak membahayakan keselamatan orang awam.






























