Utama Berita Automotif Vespa 946 Horse pelengkap Koleksi Lunar penuh prestij

Vespa 946 Horse pelengkap Koleksi Lunar penuh prestij

5

Didi Group, pengimport dan pengedar rasmi Vespa di Malaysia, melancarkan model eksklusif Vespa 946 Horse yang kini dilihat bukan sahaja sebagai kenderaan, malah sebagai aset pelaburan dan karya seni bertaraf global.

Menyasarkan golongan pengumpul dan peminat tegar, skuter edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM108,999.

Tahap eksklusiviti model itu juga amat tinggi apabila hanya tiga unit diperuntukkan bagi pasaran Malaysia, menjadikannya antara model Vespa paling jarang ditemui di pasaran tempatan.

Dari sudut gaya hidup dan pelaburan barangan koleksi, model ini adalah sebahagian daripada Koleksi Lunar Vespa yang berprestij dan dicipta khusus bersempena dengan Tahun Kuda.

Model ini meneruskan kesinambungan dan tradisi Koleksi Lunar selepas kejayaan edisi Arnab, Naga, dan Ular yang menambat hati pengumpul di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Didi Group, Goh Kian Sin berkata, nilai model berkenaan melangkaui fungsi asasnya sebagai sebuah kenderaan dua roda.

Kian Sin menyatakan, ia adalah satu lambang keghairahan dan ketukangan luar biasa buat pengumpul automotif.

“Vespa 946 Horse Edition bukanlah sekadar sebuah skuter, ia adalah sebuah statement piece,” kata Kian Sin.

Beliau menambah, setiap perincian mencerminkan kesenian dan keghairahan yang mentakrifkan jenama Vespa melalui siluet tersendiri serta bahan premium.

Hadir sama pada majlis pelancaran koleksi itu adalah Duta Itali ke Malaysia, Raffaele Langella, serta Pengarah Urusan Piaggio Asia Pasifik, Neri Miclaus.

Kehadiran delegasi antarabangsa membuktikan penawaran eksklusif ini amat bernilai serta menunjukkan sokongan berterusan prinsipal terhadap perkembangan jenama Vespa di Malaysia.

Kian Sin juga menjelaskan, model berkenaan meraikan nilai-nilai kebebasan, kekuatan, ketahanan, dan keanggunan yang sinonim dengan simbol kuda dalam budaya Asia.

Kuda melambangkan keazaman dan keberanian untuk meneroka ufuk baharu.

Nilai seni model berkenaan diserlahkan melalui pertembungan estetik yang sangat teliti dan premium.

Kemasan model ini menggunakan warna coklat deep bay brown eksklusif yang diinspirasikan daripada warna bulu kuda yang menawan.

Selain itu, Vespa 946 edisi ini menampilkan butiran halus termasuk ketukangan kulit premium, aksen emas diperhalusi, serta elemen reka bentuk berinspirasikan ekuestrian yang unik.

Elemen-elemen berkenaan menaikkan tarafnya sebagai barangan pengumpul yang sebenar.

Sejak kemunculan sulungnya, siri Vespa 946 berdiri sebagai kemuncak reka bentuk Vespa, yang diilhamkan oleh prototaip MP6 asal sambil menggabungkan kejuruteraan canggih dan bahan premium.

Koleksi Lunar ini terus meningkatkan warisan berkenaan dengan setiap model membawa cerita unik dan tafsiran seni tersendiri.

Menyentuh mengenai keyakinan pasaran, Didi Group percaya rakyat Malaysia sangat menghargai produk yang menggabungkan warisan, kualiti, dan watak yang asli.

Sambutan terhadap model-model Vespa premium selama ini membuktikan wujudnya komuniti penunggang dan pengumpul yang semakin berkembang di Malaysia yang mementingkan eksklusiviti.

Dengan penawaran unit yang sangat terhad di peringkat global, Vespa 946 Horse kekal sebagai aset tambahan yang jarang ditemui untuk mana-mana koleksi pelaburan.

Ia adalah satu kenyataan gaya yang dicipta untuk penunggang serta pengumpul arif yang menghargai kecemerlangan pembuatan Itali dan warisan eksklusif.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here