Utama Berita Automotif BMW iX3 Long Wheelbase dipandu lebih 800km dengan sekali cas tanpa isian...

BMW iX3 Long Wheelbase dipandu lebih 800km dengan sekali cas tanpa isian semula!

7

Pada masa pengguna ragu-ragu tentang jarak pemanduan kenderaan elektrik (EV), BMW iX3 Long Wheelbase berjaya dipandu lebih 800 kilometer tanpa sebarang pengecasan semula di sekitar Tasik Qinghai, China.

Ujian tersebut menggunakan varian BMW iX3 50L xDrive yang dilengkapi rim aerodinamik 21 inci, dengan laluan bermula dari Xining, mengelilingi Tasik Qinghai sebelum kembali semula ke Xining.

Selepas menamatkan perjalanan, model itu masih mempunyai baki bateri sebanyak dua peratus, manakala penggunaan tenaga purata direkodkan serendah 12.6kWj bagi setiap 100 kilometer.

Berdasarkan keputusan tersebut, BMW menjangkakan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 840km, dengan jarak pemanduan sebenar yang dicapai melebihi 90 peratus daripada angka yang dianggarkan.

Ujian Dalam Persekitaran Mencabar

Cabaran tersebut tidak dijalankan dalam keadaan ideal atau terkawal, sebaliknya melibatkan laluan dunia sebenar yang menguji keupayaan trenkuasa, pengurusan tenaga dan pengurusan haba kenderaan.

Perjalanan bermula di Xining yang terletak pada ketinggian sekitar 2,200 meter sebelum mendaki kawasan pergunungan setinggi kira-kira 4,000 meter.

Dari situ, iX3 Long Wheelbase menuruni kawasan sekitar Tasik Qinghai pada ketinggian sekitar 3,300 meter sebelum kembali semula ke lokasi permulaan.

Perubahan ketinggian yang ketara memaksa iX3 Long Wheelbase beroperasi dalam pelbagai situasi pemanduan sepanjang perjalanan.

Antara cabaran yang dihadapi sepanjang laluan ialah:

  • Ketinggian berubah daripada sekitar 2,200 meter hingga 4,000 meter.
  • Perbezaan ketinggian hampir 2,000 meter antara titik terendah dan tertinggi.
  • Gabungan pendakian panjang, penurunan berterusan dan pemanduan jelajah di kawasan tanah tinggi.
  • Suhu persekitaran berubah antara 1°C hingga 21°C.
  • Cuaca tidak menentu termasuk ribut salji, hujan lebat dan cuaca cerah dengan sinaran ultraungu yang tinggi.

Keseluruhan perjalanan dilakukan menggunakan mod Eco, dengan sistem penyaman udara dilaraskan secara adaptif untuk mengimbangi keselesaan kabin dan kecekapan tenaga.

Keadaan itu menjadikan cabaran tersebut lebih hampir kepada senario penggunaan sebenar pengguna ketika memandu jarak jauh.

Kecekapan Lebih Daripada Sekadar Angka Jarak Pemanduan

BMW berkata kecekapan sesebuah kenderaan elektrik tidak seharusnya diukur berdasarkan satu angka jarak pemanduan semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu dinilai berdasarkan keupayaan kenderaan mengekalkan prestasi yang konsisten, boleh diramal dan boleh dipercayai dalam pelbagai keadaan pemanduan sebenar.

Menurut BMW, pencapaian BMW iX3 Long Wheelbase dalam cabaran Tasik Qinghai membuktikan kecekapan bukan sekadar bergantung kepada bateri yang besar atau aerodinamik yang baik.

Sebaliknya, ia merupakan hasil kerjasama pelbagai sistem yang direka untuk memaksimumkan penggunaan tenaga dalam keadaan pemanduan sebenar.

Bahagian depan BMW iX3 Long. Wheelbase

Antara teknologi yang menyumbang kepada kecekapan tinggi BMW iX3 Long Wheelbase ialah:

  • Rekaan aerodinamik yang dioptimumkan, bagi mengurangkan kehilangan tenaga ketika pemanduan pada kelajuan tinggi.
  • Sistem kawalan tenaga pintar BMW, yang dibangunkan sendiri dan mampu mengagihkan penggunaan tenaga secara optimum mengikut keadaan jalan, suhu serta gaya pemanduan.
  • Pek bateri silinder generasi baharu BMW dengan kapasiti boleh guna 108.7kWj yang direka untuk mengimbangi kapasiti tenaga, berat bateri, ruang dalaman dan ketegaran struktur kenderaan.
  • Gabungan motor elektrik baharu, terdiri daripada motor segerak (electrically excited synchronous motor) dan motor aruhan tak segerak (induction asynchronous motor). Konfigurasi itu mengurangkan kehilangan tenaga sehingga 40 peratus dan meningkatkan kecekapan keseluruhan kenderaan sebanyak 20 peratus.
  • Sistem kawalan pemanduan Heart of Joy dan pemulihan tenaga, yang membolehkan fungsi brek regeneratif digunakan dalam 98 peratus situasi pemanduan. Sistem itu membantu memulihkan sebanyak mungkin tenaga ketika nyahpecutan dan pemanduan menuruni bukit.
  • Sistem pengurusan haba kenderaan, yang membantu memastikan prestasi bateri kekal stabil walaupun berdepan perubahan suhu dan cuaca yang ketara.

BMW menegaskan bahawa kecekapan bukan sekadar satu angka, tetapi hasil integrasi pelbagai sistem yang berfungsi secara menyeluruh.

Pengecasan Berkuasa Tinggi

Selain mencatat jarak pemanduan yang tinggi, BMW turut menonjolkan kemampuan pengecasan pantas model tersebut selepas tamat cabaran berkenaan.

Ketika menggunakan stesen pengecas berjenama BMW, Neue Klasse BMW iX3 Long Wheelbase dilaporkan mencapai kuasa pengecasan maksimum melebihi 400kW.

Sebagai model pertama dalam keluarga Neue Klasse, BMW iX3 Long Wheelbase memperlihatkan hala tuju teknologi elektrifikasi generasi baharu BMW.

Ia turut menunjukkan pendekatan BMW terhadap kecekapan menyeluruh yang merangkumi rangkaian kuasa, bateri, pengurusan tenaga dan pengalaman penggunaan harian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here