Utama Berita Automotif Rempuh empat kenderaan, pemandu Proton X70 positif dadah

Rempuh empat kenderaan, pemandu Proton X70 positif dadah

14

Pemandu Proton X70 yang memandu ke laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain di Jalan Sepadu Off Jalan Rantau Panjang di Klang pada Jumaat disahkan positif dadah. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila pemandu X70 berusia lingkungan 30-an itu telah masuk ke laluan arah bertentangan dan melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu kiri jalan termasuk sebuah lori foodtruck yang berniaga di lokasi itu.

“Dalam kejadian ini tiada mangsa yang cedera.

“Kesemua pihak telah tampil membuat laporan polis kecuali penunggang motosikal yang terus beredar di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hasil ujian saringan air kencing pemandu X70 didapati positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau dengan cara membahayakan.

Tambah beliau, mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini boleh tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Orang awam boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327,” ujarnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here