
Proton Holdings Bhd (PROTON) mengekalkan momentum jualannya pada Julai dengan mencatat prestasi jualan bulanan kedua terbaik bagi tahun ini, didorong permintaan berterusan terhadap rangkaian kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik (xEV) serta peningkatan aktiviti eksport.
Pengeluar kereta nasional itu menyerahkan sebanyak 18,442 unit kenderaan merangkumi pasaran domestik, eksport, Proton e.MAS dan smart sepanjang Julai, meningkat 14.9 peratus berbanding Jun.
Prestasi itu menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tujuh bulan pertama tahun ini mencecah 118,788 unit, iaitu pertumbuhan 38.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV), PROTON dijangka menutup Julai dengan pegangan pasaran sebanyak 25.8 peratus, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara jenama automotif terkemuka di Malaysia.
Dalam suasana persaingan industri automotif yang semakin sengit dengan kemasukan pelbagai jenama dan produk baharu, PROTON terus mempertahankan kedudukan sebagai peneraju dalam beberapa segmen utama kenderaan penumpang.
Pencapaian itu disokong oleh barisan model yang antara paling muda di negara ini, selain penambahbaikan berterusan dari segi teknologi produk, kualiti dan pengalaman pelanggan.
Proton Saga terus menjadi model terlaris syarikat apabila sebanyak 7,814 unit diserahkan sepanjang Julai, menjadikan jumlah jualan terkumpul kepada 52,189 unit.
Model itu juga kekal berada di landasan untuk mencipta satu lagi rekod jualan tahunan selain terus menjadi pilihan utama pembeli sedan segmen-A.
Bagi segmen lain, Proton S70 mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju sedan segmen-C dengan jualan 2,857 unit, sekali gus meningkatkan jumlah jualan terkumpul kepada 15,689 unit.
Proton X50 pula terus mendominasi kategori SUV segmen-B selepas merekodkan jualan 2,291 unit dengan jumlah terkumpul sebanyak 17,636 unit, manakala Proton X90 kekal menerajui pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk segmen-D apabila mencatat 441 unit, iaitu prestasi jualan bulanan kedua terbaik bagi tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, prestasi Julai membuktikan rakyat Malaysia terus meletakkan keyakinan terhadap produk PROTON kerana menawarkan gabungan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang memenuhi keperluan pengguna.

Beliau berkata, selain memperkenalkan produk baharu, syarikat kekal memberi tumpuan kepada penambahbaikan setiap aspek pengalaman pemilikan, meliputi kualiti pembuatan, usaha penyetempatan, jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
“Pelaburan itu mengukuhkan daya saing jangka panjang PROTON di samping menyokong pembangunan berterusan industri automotif Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Momentum positif PROTON turut dipacu pertumbuhan kukuh perniagaan kenderaan elektrik apabila rangkaian Proton e.MAS mencatat jualan bulanan tertinggi sejak jenama itu diperkenalkan.
Pencapaian itu hadir selepas enam cawangan baharu Proton e.MAS dibuka, sekali gus memperluaskan rangkaian kepada 58 pusat jualan dan 45 pusat servis di seluruh negara, selain pelancaran rasmi barisan pemasangan tempatan Proton e.MAS 7 PHEV pada bulan yang sama.
Sepanjang Julai, jumlah penghantaran Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV mencecah 3,888 unit, menjadikan jualan terkumpul bagi tahun ini sebanyak 21,808 unit.
Daripada jumlah itu, Proton e.MAS 5 terus mengekalkan kedudukannya sebagai EV paling laris di Malaysia dengan 13,196 unit diserahkan setakat tahun ini, manakala Proton e.MAS 7 PHEV kekal sebagai hibrid plug-in nombor satu negara dengan 4,946 unit dan Proton e.MAS 7 pula merekodkan jualan 3,666 unit.
Ketiga-tiga model berkenaan dipasang di kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) PROTON di Tanjung Malim dengan komponen utama termasuk Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan Electric Drive Unit (EDU) dihasilkan secara tempatan menerusi Advanced Powertrain Hub milik syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pertumbuhan berterusan Proton e.MAS mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap penyelesaian mobiliti elektrik yang ditawarkan syarikat.

Beliau berkata, selain memperluaskan rangkaian produk, PRO-NET komited memberikan pengalaman pemilikan yang memenuhi jangkaan pelanggan menerusi Proton e.MAS SuperApp, pengembangan rangkaian jualan serta kerjasama berterusan dengan rakan penyedia infrastruktur pengecasan.
Sementara itu, perniagaan eksport PROTON turut mencapai satu lagi pencapaian penting apabila sebanyak 1,398 unit dieksport pada Julai, mewakili jumlah eksport bulanan tertinggi syarikat sejak Mac 2013.
Prestasi itu didorong oleh permintaan yang lebih kukuh di pasaran luar negara serta aktiviti pengeluaran serantau membabitkan model kerjasama PROTON-Geely yang dipasang di kilang Tanjung Malim untuk beberapa pasaran eksport terpilih.






























