Utama Berita Automotif Pemeriksaan institut memandu, JPJ Kelantan keluar 100 notis

Pemeriksaan institut memandu, JPJ Kelantan keluar 100 notis

7

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan kesalahan berkaitan pengajar dan Lesen Belajar Memandu (LDL), dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Institut Memandu yang dijalankan di 12 institut memandu di negeri itu dari 3 Ogos hingga semalam.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan mengemukakan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), serta ketidakpatuhan syarat LDL apabila kenderaan digunakan tanpa pengawasan pengajar.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati kesalahan berkaitan rekod dan penyata, penyelenggaraan kenderaan dari aspek teknikal, kegagalan mempamerkan Disk Puspakom serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.

“Sebanyak 350 kenderaan diperiksa dan 43 daripadanya diambil tindakan, manakala 100 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Mohd Misuari berkata pematuhan peraturan amat penting, kerana kenderaan institut memandu digunakan bagi latihan calon sebelum mereka menjalani ujian memandu.

Beliau berkata terdapat 16 institut memandu di Kelantan dan JPJ akan meneruskan pemeriksaan secara berkala, bagi memastikan pengurusan pengajar, rekod, penyelenggaraan serta keselamatan kenderaan memenuhi syarat ditetapkan.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, kerana keselamatan calon yang menjalani latihan serta pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya. 

Mohd Misuari berkata operasi itu, turut bertujuan memastikan pengoperasian institut memandu berada pada tahap ditetapkan, selain meningkatkan pematuhan terhadap peraturan dan syarat yang berkuat kuasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here