Main Sony Playstation dapat RM20,000!

236

Siapa sangka minat bermain permainan video mampu meraih hadiah lumayan? Buktinya Kejuaraan Toyota Velocity yang berlangsung di Blue Atrium, Sunway Pyramid di Petaling Jaya, Selangor dari 21 hingga 23 September lalu, menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM60,000.

Sang juara membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi.

Toyota Velocity - Sony Playstation
Toyota Velocity – Sony Playstation

Terdahulu, seramai 400 peserta bersaing sesama sendiri di dalam acara perlumbaan Esports (sukan elektronik) terbesar di Malaysia untuk merebut takhta sebagai pemandu simulator paling pantas dan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Ternyata semua peserta terpaksa akur dengan kehebatan Muhammad Uzair S Abdul Nasir Khan.  Apabila berjaya menewaskan semua pencabarnya sebelum bergelar juara, sekali gus membolot hadiah utama RM20,000.

1st Runner Up menjadi milik Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin dengan membawa pulang RM10,000. Manakala Aiman Haziq Aidi terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Sementara wang sagu hati berjumlah RM2,000 menjadi milik semua tujuh peserta lain yang berjaya ke pusingan akhir.

Sony Playstation
Sony Playstation

Keseluruhannya, sebanyak RM60,000 hadiah wang tunai ditawarkan untuk kejuaraan kali ini.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menjadi syarikat pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang terlibat secara langsung di dalam aktiviti Esports yang semakin berkembang ketika ini. 

Ia turut menjadi cerminan kepada aktiviti-aktiviti sukan permotoran dibawah Toyota Gazoo Racing (TGR) kepada khalayak umum. Disamping itu, ia memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri keseronokan perlumbaan.

Presiden UMWT, K Ravindran berkata, penglibatan Toyota serta penampilannya yang utuh di dalam acara seumpama ini melengkapi lagi sisi dinamik dan sporty yang ingin dibawa oleh jenama ini.

“Kami sangat teruja dengan sambutan hangat yang diterima daripada orang ramai bagi Kejuaraan Toyota Velocity yang dianjurkan buat pertama kali ini.

“Esports sememangnya sebuah industri yang kian pesat berkembang ketika ini bukan hanya di Malaysia, malahan di peringkat global juga kerana ia memberi pengalaman yang menyeronokkan terutama buat generasi muda,” katanya.

Kejuaraan Toyota Velocity ini menyaksikan peserta menggunakan jentera lumba ikonik Toyota iaitu Toyota GR Supra Racing Concept. 

Dilengkapi dengan mesin simulator Playstation Gran Turismo Sports, kesemua peserta berlumba di atas Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun. Ia turut disertakan dengan suasana perlumbaan 3D dan persekitaran yang realistik.

Selebriti turut serta acara perlumbaan TGR Racing Festival

Pertandingan dalam kejuaraan ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang mendaftar untuk ikut serta. Acara lain yang turut diadakan ialah perlumbaan pertunjukan antara selebriti dari acara perlumbaan TGR Racing Festival. Antara selebriti yang hadir ialah Diana Danielle, Janna Nick, Shawn Lee, Syukri Yahaya, Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad. 

Semua selebriti ini turut meluangkan masa bersama peminat mereka ketika acara ini.

Para peminat juga boleh melihat sendiri aksi sebenar perlumbaan selebriti ini di Karnival TGR Racing Festival pusingan ke 2. Karnival ini akan berlangsung di MAEPS Serdang, dari 19 hingga 21 Oktober 2018.

Maklumat lanjut berkaitan Kejuaraan Esport Toyota Velocity dan TGR Racing Festival ini boleh dicapai di laman web www.toyota.com.my.

Komen anda mungkin membantu