Proton catat 9,127 unit jualan pada Ogos lalu

1308

Proton Holdings Berhad (Proton) mencatatkan jualan kereta sebanyak 9,127 unit, Ogos lalu sekali gus meneruskan momentum peningkatan jualan syarikat kereta nasional itu pada tahun ini.

Jumlah berkenaan mewakili 17.6 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Ogos yang menjadikan keseluruhan pegangan pasaran syarikat kepada 15.3 peratus.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, pada asas tahunan pertumbuhan jualan kini berada pada kadar 36 peratus, meskipun TIV menurun sebanyak 5.8 peratus berbanding 2018.

“Proton mencatat kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia di mana syarikat berada pada landasan tepat untuk mengatasi keseluruhan jualan pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit.

“Jumlah jualan pada akhir Ogos adalah sebanyak 61,396 unit dan kami menjangka untuk mengatasi jumlah jualan tahun lalu lebih awal, iaitu sebelum akhir September.

“Malah, melalui pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S, penambahbaikan khidmat pelanggan dan kualiti produk, kami yakin dapat mengakhiri 2019 dengan kedudukan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, tempahan yang diterima untuk Saga 2019 yang dilancarkan pada 6 Ogos lalu kini melebihi 10,000 unit.

Menurutnya, lebih 1,000 daripada tempahan berkenaan adalah melalui platform secara dalam talian PROTON di mana pelanggan boleh menempah model terbabit hanya pada RM9.99.

“Oleh kerana model ini mendapat penerimaan luar biasa, kami melanjutkan tempoh tempahan dalam talian sehingga 17 September.

“Melihatkan pada angka tempahan yang diterima, Saga 2019 begitu popular di kalangan pelanggan yang tertarik dengan rekaannya yang diperbaharui, komponen yang dipertingkat serta sistem infotainmen skrin sentuh yang ditawarkan,” katanya.

Chunrong berkata, pihaknya turut kagum dengan jumlah tempahan dalam talian yang diterima, kerana angka berkenaan melebihi jumlah yang diterima untuk Proton X70.

“Justeru, kami melanjutkan tempoh tempahan dalam talian untuk memberi peluang kepada pelanggan menggunakan platform yang disediakan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here