Tengku Amirul juarai pusingan 6 Cub Prix

2387

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Tengku Amirul Haffirudin menamatkan kemarau kemenangannya pada musim ini apabila menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Teluk Intan, hari ini.

Selepas cemerlang melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan semalam, Amirul mengotakan janjinya untuk meneruskan momentum berkenaan selepas sering gagal dalam beberapa percubaan sebelum ini.



Tengku Amirul Haffirudin menamatkan perlumbaan 12 pusingan itu dengan catatan masa 10:34.956 saat (s) diikuti pelumba Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman (10:36.206s) manakala rakan sepasukannya, Md Azhar Abd Jalil ketiga (10:38.974s).

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya selepas gagal untuk melakukannya di tempat sendiri (di Terengganu) dua minggu lalu,” kata Tengku Amirul. “Kali ini, saya berjaya mengatasi kekecewaan itu dan terima kasih kepada krew pasukan yang menyediakan jentera terbaik buat saya.

“Saya sudah memaksimumkan kemampuan jentera dan ia tetap stabil sehingga tamat perlumbaan. Saya juga mengambil langkah berhati-hati kerana saya tahu bakal berdepan tentangan sengit daripada Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing).”

Afif yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh, kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata diikuti rapat oleh Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang mengumpul 88 mata manakala Tengku Amirul ketiga (61 mata).

Bagi kelas CP115, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) turut meraih kemenangan pertamanya musim ini apabila  muncul juara dengan catatan masa 9:44.542s, sekali gus mengatasi kekecewaannya di Terengganu.

Tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 9:44.549s manakala Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di tempat ketiga dengan catatan masa 9:47.745s.

Selepas konsisten dengan penamat selaku naib juara dalam empat pusingan lalu kecuali di Terengganu yang menyaksikannya menduduki tempat ke-12, Ahmad Syukran mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan musim ini selepas mengumpul 109 mata.

Dalam pada itu, pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing,  Md Zaki Ahmad Zamri menepati ramalan apabila muncul juara kelas Wira dengan catatan masa 8:01.922s manakala pencabarnya, Md Aliff Danial Md Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan masa 8:02.100s.

Tempat ketiga menjadi milik Md Adam Haikal Jahar (Pertonas Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan masa 8:09.292s.

Aksi seterusnya akan berlangsung di Kangar, Perlis yang menjadi tuan rumah untuk Pusingan 7.

Keputusan perlumbaan

CP150

1. Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) -10:34.956s

2. Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) – 10:38.206s

3. Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 10:38.974s

4. Fakhrusy Syakirin Rostam (ONEXOX TKKR SAG Team) – 10:39.237s

5. Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 10:42.382s

CP115

1. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 9:44.542s

2. Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 9:44.549s

3. Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) – 9:47.745s

4. Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) – 9:47.807s

5. Md Afiq Asyraf Zulkifli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 10:01.980s

Wira

1. Md Zaki Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 8:01.922s

2. Md Aliff Danial Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) – 8:02.100s

3. Md Adam Haikal Jahar (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) – 8:09.292s

4. Md Izzat Raduan (ONEXOX SAG Team) – 8:12.750s

5. Md Izham Hanafi Amran (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) – 8:14.453s

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here