Toyota Vios Challenge: Hayden Haikal menang, Wany Hasrita naik podium

2646

Race 2 dalam Toyota Vios Challenge menyaksikan beberapa “kali pertama”, dengan pelumba berusia 15 tahun Hayden Haikal (Sporting Class) memperoleh kemenangan pertama beliau dalam litar jalanan, dan Wany Hasrita (Promotional Class) mendapat kemenangan podium kali pertama.

Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) kini dalam edisi ketiganya tahun ini, dan Pusingan 1 Toyota Vios Challenge diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mizan  Zainal Abidin, Kuala Terengganu dalam litar 1.65km yang dibina khas.



Sporting Class 

Permulaan perlumbaan 22 pusingan ini agak dramatik dengan Shanmuganathan Arumugam dari pole position dihimpit semasa masuk ke selekoh pertama.

Wong Chin Eeg (Hiewa Racing Team) menyelit ke tempat pertama, dan meninggalkan cukup ruang untuk Hayden (S&D Motorsports) dan Dato’ Kenneth Foo (Kulim Topwheels) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Hayden kemudiannya muncul tempat pertama di garisan penamat di depan Wong dan Kenneth Koh (Panglima City Racing).

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana litar Kuala Terengganu sangat mencabar. Terus-terang saya tidak begitu sukakan litar ini kerana ia tidak banyak tempat memotong tapi syukur semuanya berjalan lancar hari ini,” kata Hayden.

Super Sporting Class 

Perlumbaan dengan pelumba elit perofesional bermula dengan semua pemandu mencatatkan masa pusingan kompetitif dalam 1 minit 15 saat hingga 1 minit 16 saat sahaja.

Dengan pengecualian Brendon Lim yang jatuh dari tempat keempat ke tempat kelapan dan Brendan Paul Anthony yang turun satu posisi, semua pemandu di kelas ini mengekalkan posisi mereka sepanjang perlumbaan 22 pusingan itu.

William Ho (Toyotsu Racing) mengetuai perlumbaan dari mula hingga akhir, dengan Freddie Ang (Telegamas Toyota) di tempat kedua dengan 1.93 saat membezakan mereka.

Di tempat ketiga ialah Kenny Lee dari Kegani Racing.

Promotional Class

Sementara itu dalam Promotional Class, hujan di lewat petang membuatkan perlumbaan menjadi sukar dan ditunda selama 30 minit.

Perlumbaan kembali dengan kereta keselamatan mengetuai kelompok.

Permukaan basah ini walaubagaimanapun memihak kepada penyanyi Wany Hasrita yang memperoleh kemenangan pertama beliau.

Di tempat kedua ialah penyanyi Nabila Razali, juga membuat kemunculan pertama di podium, diikuti pelakon Shukri Yahaya di tempat ketiga.

Wany berkata, “Litar yang basah membuatkan perlumbaan dua kali ganda lebih sukar, namun saya lakukan yang terbaik untuk kekal tenang dan mengelak dari sebarang kesilapan. Litar agak licin dan bermakna kami perlu membrek lebih awal memasuki selekoh.”

Nabila yang menunjukkan pemanduan lebih tenang pula berkata, “Tahap pemanduan dan keyakinan saya telah meningkat. Saya berharap dapat melakukan lebih baik di musim ini.”

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here