Utama Berita Automotif KTMB tawar koc kelas perniagaan dalam ETS2

KTMB tawar koc kelas perniagaan dalam ETS2

1096

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan koc kelas perniagaan bagi perkhidmatan tren elektrik terbaharunya (ETS2) bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, koc kelas perniagaan eksklusif itu merupakan salah satu daripada enam gerabak ETS2 dan direka khas sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu.



Katanya, koc itu akan dilengkapi kemudahan yang kondusif, seiring jenama kelas perniagaan tersebut.

“Ini termasuk tempat duduk yang luas dan selesa berbanding koc biasa serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus bagi koc kelas perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rani Hisham berkata, penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB.

Tambahnya, tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Oktober depan akan dijual mulai pukul 8.30 pagi pada 12 September ini.

Menurutnya, perkhidmatan ETS amat popular dalam kalangan penumpang KTMB dan sepanjang tahun lepas, sejumlah 3.91 juta orang telah menggunakannya.

“Sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta orang telah menaiki ETS, purata 10,400 penumpang sehari dan penambahan set-set tren ETS2 ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam berasaskan rel.

“Dua perkhidmatan tren terbaharu tersebut menjadikan keseluruhan 38 perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari dan perkara ini merupakan sebahagian daripada sembilan set tren ETS2 yang bakal diterima peneraju perkhidmatan rel nasional secara berfasa sehingga suku pertama tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena pengenalan koc terbaharu itu, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala dari stesen KL Sentral ke Ipoh manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral ke Padang Besar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ETS2 di laman sesawang rasmi KTMB iaitu www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau menerusi Pusat Panggilan 24 jam KTMB di 03-22661200.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here