Mercedes-AMG GT bakal terima sistem 4MATIC, hibrid

169

Supercar AMG versi akan datang bakal mengadaptasi enjin V8 twin-turbo petrol yang ditambahbaik berserta bantuan sistem ­mild-hybrid baharu.

Ia juga akan mendapat transaxle yang dijuruterakan untuk menerima sistem pacuan semua-roda boleh-ubah untuk model-model tertentu. Keputusan ini dikatakan bakal memberi lebih prestasi berbanding versi sedia ada.

Lakaran Mercedes-AMG GT 2020. Imej: Autocar

Menurut sumber dalaman di ibupejabat Mercedes-AMG, seperti dilaporkan oleh Autocar, inovasi driveline ini bakal memberikan model AMG GT lebih dari 650hp kuasa. Sistem elektrik pula akan menjadi sebahagian dari rangkaian EQ Boost.

Selain dari peningkatan kuasa, kehadiran sistem elektrik melalui starter/alternator dan unit 48V baharu akan menambah tork kepada enjin V8 yang dipertingkat itu. Model pengganti AMG GT R akan menghasilkan lebih dari 949Nm.

Sebagai rujukan, versi paling berkuasa untuk unit V8 (kod nama M178) itu yang memacu GT63 S 4MATIC 4-Door Coupe menjana 630hp dan 900Nm tork.

Mercedes-AMG GT. Imej: Autocar

GT baharu ini juga akan dihasilkan dalam bentuk coupé dan roadster, dan dijangka mula tiba di bilik pameran Eropah sekitar 2022. Pesaing utamanya adalah model seperti Porsche 911 dan Aston Martin Vantage.

Juga baharu kepada AMG GT akan datang adalah sistem pacuan semua roda yang mampu mengagihkan kuasa antara depan dan belakang dengan cepat dan cekap. Sistem ini juga akan menerima fungsi torque vectoring selain memberikan agihan berat depan-belakang lebih baik.

Dengan adanya fungsi pacuan semua-roda 4MATIC kepada AMG GT, ia akan membaiki “kelemahannya” iaitu permulaan pecutan jika dibandingkan dengan supercar lain. Tetapi seperti E63 – yang juga mempunyai 4MATIC – ia juga dijangka mendapat fungsi Drift Mode.

Komen anda mungkin membantu