Mazda TCR ini ialah jentera lumba Touring Car paling garang

2631

Kami telah memandu uji Mazda3 2019 serba baharu di Sepang beberapa bulan lepas, dan kami sukakannya.

Belum ada tanda-tanda bahawa Mazda akan menawarkan Mazdaspeed3 iaitu versi hot hatch kereta itu, tetapi sekurang-kurangnya ada berita mengujakan untuk kereta ini.



Pengeluar Jepun itu telah mendedahkan Mazda3 TCR, senang-senang saja menjadi jentera TCR paling garang yang boleh anda beli hari ini. Tapi bukan untuk dipandu di jalanraya ya, tapi untuk berentap dalam perlumbaan.

Menurut Masahiro Moro, Pengerusi dan CEO Mazda North American Operations, “TCR memberikan suatu peluang kepada kami untuk mempamerkan Mazda3 baharu dan memberikan pelanggan kami satu lagi platform untuk berlumba dalam kenderaan Mazda.”

Mazda3 TCR ini rata-ratanya nampak sama dengan versi produksi kerana ia sebahagian dari piawaian FIA. Namun, ia telah mendapat kit aerodinamik termasuk spoiler belakang besar gedabak.

Kit aerodinamik ini termasuklah splitter depan agresif, skirt tepi, dan diffuser belakang dengan ekzos terletak di tengah-tengah bampar belakang.

Ia dipadankan dengan rim Rays 18-inci, tayar Michelin Pilot, dan suspensi Bilstein (atau pilihan Ohlins).

Di bawah hud Mazda3 TCR ialah enjin 2.0-liter turbo 4-silinder yang mampu rev sehingga 7,000rpm. Enjin ini menjana 350hp dan 490Nm tork. Output disalurkan ke jalan melalui transmisi 6-kelajuan sequential dari SADEV atau kit Xtrac.

Kelajuan maksima ialah 241kph dan ia mampu berhenti dengan efektif, terima kasih kepada set brek Brembo.

Untuk rekod, Mazda3 serba baharu hadir di Malaysia dalam tiga varian dan dua pilihan enjin, iaitu 1.5-liter SkyActiv-G dan 2.0-liter SkyActiv-G berkuasa petrol. Kita tidak mendapat pilihan enjin SKyActiv-X kerana dikatakan isu kualiti petrol. Bahkan pada ketika artikel ini ditulis, hanya Jepun sahaja yang mempunyai Mazda3 SkyActiv-X.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here