Foodpanda: skim bayaran baharu boleh jana RM3,600 sebulan

2702

Sejumlah besar penghantar makanan syarikat aplikasi atas talian Foodpanda mengadakan mogok beberapa minggu lalu. Ia bertujuan membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu Foodpanda yang diperkenalkan.

Skim baharu yang berkuat kuasa mulai 30 September 2019 kepada semua penunggangnya di luar Lembah Klang mendapat reaksi yang kurang menyenangkan. Rider telah menuntut supaya skim pembayaran lama yang dikira mengikut jam dikekalkan.



Bagaimanapun, tegas Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das, skim baharu yang diperkenalkan syarikat tersebut adalah yang terbaik, malah mampu memberi peluang kepada rider untuk memperoleh pendapatan lebih 50 peratus berbanding sistem lama.

“Saya rasa mereka patut cuba dahulu sistem pembayaran baharu ini, jika mereka mahu kekal, mereka boleh terus kekal.

“Jika mereka tidak mahu, mungkin mereka boleh meneroka peluang pekerjaan yang sama di tempat lain,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Sayantan menambah, selain itu, model skim berkenaan memberi motivasi kepada rider yang prestasinya kurang memberangsangkan untuk mengambil lebih shift bagi menambah pendapatan.

Sebelum ini, penghantar makanan Foodpanda dibayar RM4 sejam dengan tambahan RM3 hingga RM5 setiap pesanan berdasarkan prestasi penunggang.

Bagaimanapun, menerusi skim pembayaran baharu, Foodpanda menghapuskan bayaran mengikut jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.

Skim bayaran baharu rider Foodpanda:

  1. Bayaran setiap pesanan dinaikkan antara RM4.50 hingga RM7.00.
  2. Lebih fleksibel untuk rider memilih bila dan di mana mereka mahu bekerja, di mana penghantar diberi senarai ‘zon panas’ atau ‘zon berpotensi tinggi’.
  3. Penghantar akan diberi insentif RM150 apabila berjaya menghabiskan waktu bekerja selama 40 jam seminggu.
  4. Bayaran tambahan RM1 bagi setiap tempahan yang dihantar bagi tempoh 11 malam sehingga 9 pagi setiap hari.
  5. Penghantar juga akan mendapat bonus tambahan RM50 apabila melengkapkan minimum 80 pesanan setiap minggu. Bonus akan meningkat sehingga RM120 seiring peningkatan pesanan. 

Sebagai contoh, seorang penghantar makanan yang bekerja 8 jam sehari dengan anggaran mendapat tiga pesanan setiap jam (RM7 setiap pesanan), akan memperoleh pendapatan berjumlah RM168. 

Sekiranya penghantar tersebut bekerja selama lima hari seminggu, dia akan memperoleh RM840 bagi minggu tersebut dan dicampur dengan RM80 bonus tambahan kerana mendapat 120 pesanan. 

Kiraan: Sehari maksima 24 pesanan (1 pesanan bersamaan RM7) = RM168 sehari 

Seminggu maksima 120 pesanan x RM7 = RM840 + RM80 bonus tambahan untuk seminggu

Ini bermakna, penghantar mampu memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM3,680 sekiranya prestasi mereka konsisten.

“Skim baharu ini menggunakan model yang efisien, di mana rider yang membuat penghantaran lebih akan memperoleh lebih pendapatan,” kata Satayan sambil menambah skim seumpama ini turut digunakan di negara lain.

Foodpanda kini mempunyai lebih 13,000 penghantar makanan bebas di seluruh negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here