Hafizh Syahrin dijangka berdepan kesukaran pada GP jepun

1410

Grand Prix Jepun tidak pernah mengecewakan beliau tetapi Hafizh Syahrin Abdullah dijangka berdepan kesukaran pada aksi hujung minggu ini di Litar Twin Ring Motegi.

Dengan tiada penambahbaikan di jenteranya sejak awal musim seperti yang sudah diakuinya sendiri, Hafizh Syahrin dijangka berdepan kesukaran dan dilihat akan terus bergelut terutama dalam usahanya untuk mengutip mata.



Hafizh Syahrin bagaimanapun yang sudah mengumumkan akan kembali ke Moto2 musim depan bersama pasukan Angel Nieto tetap bersikap positif.

“Litar di sini (Twin Ring Motegi) amat menarik dan saya amat menggemarinya. Tapi saya tahu ia bukanlah perlumbaan yang mudah.
 
“Saya akan berikan yang terbaik seperti kebiasaannya sehinggalah ke penghujung musim ini,” katanya.
 

Jelas Hafizh Syahrin, fokus utamanya buat masa ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan keputusan paling baik pada baki pusingan selepas ini.

“Perlumbaan terakhir di GP Thailand tidak begitu kompetitif dan memihak kepada saya. Jadi saya berharap memperoleh keputusan lebih baik di Motegi,” katanya.

Pencapaian terbaik Hafizh Syahrin di litar itu adalah podium ketiga ketika beraksi di saingan Moto2 pada 2017 manakala pada musim pertamanya di kelas MotoGP tahun lalu, dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

Selepas 15 pusingan, Hafizh Syahrin hanya mampu mengutip tujuh mata untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan kelas utama itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here