Peminat Hot Wheels wajib tahu maksud tahun di bawah model kereta

11307

Kami pasti anda peminat dan pengumpul Hot Wheels di luar sana gemar membelek dan meneliti perincian pada model skala kecil itu.

Tak apa lah kalau tak mampu beli kereta sebenar, janji ia dapat diabadikan dalam bentuk Hot Wheels dan disimpan di dalam “garaj” kecil di bilik anda.



Tapi pernahkah anda perasan terdapat label tahun di bawah kereta Hot Wheels ini selain logo jenama itu dan perkataan “Made in Malaysia”?

Ada yang percaya tahun itu bermakna tahun model itu dikilangkan. Ada juga yang berpendapat ia tahun hakcipta rekaan itu.

Adakah ia tarikh kilang?

Jawapan mudah ialah tidak. Ia bukan tarikh pengilangan model kereta itu. Jika ia adalah tarikh kilang, Hot Wheels perlu mengubahsuai peralatan kilang itu setiap tahun model itu dikeluarkan dan ia tidak begitu efisyen dari segi kos.

Bagaimana hendak tahu bila kereta saya dikeluarkan?

Bermula 2008 dan seterusnya, Hot Wheels telah memperkenalkan satu sistem yang boleh dikatakan sebagai “Base Code”. Ianya kod 3-digit yang boleh dilihat di bawah kereta anda.

Abjad pertama mewakili tahun ia dikeluarkan/dikilangkan. Abjad kedua dan ketiga pula mewakili minggu ke berapa ia dikeluarkan.

Senarai Base Code:

  • A = 2008
  • B = 2009
  • C = 2010
  • D = 2011
  • E = 2012
  • F = 2013
  • G = 2014
  • H = 2015
  • J = 2016
  • K = 2017
  • L = 2018

Sebagai contoh, jika anda mempunyai kod bertulis D24 (macam durian lah pulak), ianya dikeluarkan pada tahun 2011 dalam minggu ke-24. Kod G17 pula bermaksud tahun 2014, minggu ke-17. Mudah, bukan?

Jadi apa maksud tahun itu?

Tahun itu sebenarnya bermaksud tahun hakcipta. Ia tahun rekaan itu dihasilkan. 90% dari keadaan adalah jualan pertama sesebuah rekaan itu dibuat kira-kira setahun selepas tahun hakcipta disahkan.

Sebagai contoh, lihat di bawah model McLaren P1 ini:

Tahun hakcipta ialah 2014, manakala Base Code bertulis G51. Ini menunjukkan ia dikeluarkan pada tahun 2014 dalam minggu ke-51, iaitu di hujung tahun.

Model keluaran selepas 2008 lebih senang dikenalpasti berbanding keluaran tahun-tahun sebelumnya.

Ini satu lagi contoh untuk dua model berbeza. Kedua-dua Porsche Carrera GT (kuning) dan Porsche 911 GT3 RS (merah) ini mempunyai kod dari tahun yang sama, iaitu J22 dan J25. Tetapi Carrera GT mempunyai tahun hakcipta 2006 manakala 911 GT3 RS mempunyai tahun hakcipta 2016.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here