PLUS Malaysia Berhad nasihat orang awam tidak ambil risiko alih objek di lebuhraya

2083

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang awam untuk tidak mengambil risiko mengalihkan sebarang halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

Menerusi satu kenyataan, PLUS berkata pihaknya mempunyai langkah keselamatan yang ditetapkan untuk dilaksanakan oleh petugas lebuhraya yang terlatih seperti anggota PLUSRonda dan penyelenggaraan Propel.



“Lebuhraya adalah persekitaran yang amat berbahaya dengan kehadiran banyak kenderaan.

“Oleh itu, PLUS tidak menggalakkan pelanggan yang mengesan kehadiran sebarang objek atau halangan di lebuhraya untuk mengalihkan memandangkan tindakan terbabit boleh mendedahkan mereka kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain sekali gus menyebabkan kemalangan.

“Sebaliknya, pelanggan dinasihatkan supaya segera menghubungi PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 sebelum pasukan PLUSRonda atau Propel dikerahkan ke lokasi untuk mengalihkan objek berkenaan,” katanya.

Selain itu, PLUS Malaysia Berhad turut menegaskan tugas mengalihkan objek atau halangan di lebuhraya hanya boleh dikendalikan oleh petugas lebuhraya seperti yang diperuntukkan di dalam Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan oleh syarikat.

“PLUS tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pelanggan lebuhraya. Justeru, sebagai satu daripada langkah meningkatkan tahap keselamatan, pasukan PLUSRonda dan penyelenggaraan sentiasa membuat rondaan untuk mengesan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

“PLUS juga sudah memperkenalkan penggunaan pasukan kenderaan keselamatan bagi mewujudkan zon keselamatan sementara kerja pengalihan sebarang objek atau halangan di lebuhraya. Pelanggan lebuhraya dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan serta mengurangkan kelajuan kenderaan ketika pasukan ini sedang beroperasi.

“Malah, PLUS juga sentiasa berkolaborasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis untuk mengurangkan kehadiran halangan atau objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelanggan lebuhraya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan tindakan seorang lelaki mengalihkan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya. Tindakan berisiko itu mendapat perhatian orang ramai termasuk PLUS.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here