BMW 3-Series 2019 tiba di Malaysia – varian tunggal 330i M Sport, pelbagai teknologi baharu, RM329k

3290

BMW 3-Series 2019 serba baharu kini tiba di Malaysia, dilancarkan oleh BMW Malaysia hari ini. Ia merupakan generasi ketujuh sedan sport yang ikonik itu, dengan jumlah jualan 15 juta unit di seluruh dunia.

3-Series 2019 ditawarkan dengan varian tunggal 330i M Sport buat masa ini, dengan harga RM328,800. Ia menampilkan beberapa ciri dan teknologi baharu seperti:



  • BMW Intelligent Personal Assistant – fungsi arahan suara
  • Kunci digital BMW Digital Key – boleh membuka kenderaan dengan telefon Android tertentu menggunakan teknologi Near Field Communications (NFC)
  • Parking Assistant – turut disertakan dengan Reversing Assist yang merekodkan perjalanan kereta setiap 50 meter, membolehkannya mengundur secara separa autonomi pada kelajuan rendah

Luaran 

Berbanding generasi sebelumnya, 3-Series baharu ini adalah 76mm lebih panjang, 16mm lebih lebar dan 6mm lebih tinggi. Ini meningkatkan tahap keselesaan tempat duduk belakang. Jarak roda juga bertambah sebanyak 41mm.

Sebagai sebuah BMW, ia mempunyai gril kidney. Kali ini, ia lebih besar dan lebar. Lampu depan adalah unit LED dengan teknologi Bi-LED. Lampu belakang pula adalah tiga dimensi dengan bentuk L.

Melengkapkan penampilan adalah lengkok Hofmeister pada tiang-C, bibir spoiler aerodinamik dan dua ekzos 90mm yang sporti.

Dalaman 

Ruang kabin BMW 330i M Sport ini diberikan stereng kulit M Sport dengan ciri pelbagai fungsi dan padel penukar gear. Terdapat juga pencahayaan suasana yang memfokuskan pengalaman pemanduan sport.

Dipenuhi dengan ciri-ciri futuristik, model baharu ini juga menampilkan langganan ‘BMW Connected Package Professional’, bersama kefungsian ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dan ‘BMW Digital Key’ yang menjadikan pemilikan BMW 3 Series ini lebih memuaskan.

Enjin dan transmisi

Nadi kepada BMW 3-Series ini ialah enjin 2.0-liter TwinPower turbo empat silinder. Enjin ini mampu menjana 258hp dan 400Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm.

Dipadankan dengan transmisi Steptronic 8-kelajuan baharu, 3-Series ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 5.8 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 250km/j.

Casis 

BMW 3-Series G20 kali ini lebih lincah dan efisyen. Ini kerana ia kini 25kg lebih ringan berbanding generasi sebelumnya, ihsan daripada pembinaan ringan yang pintar.

Pekali seretan (drag coefficient) juga hanya pada 0.23, memberikan ia tahap aerodinamik terbaik dalam kelasnya. Keteguhan badan dan sambungan suspensi turut dipertingkat, dengan agihan berat depan ke belakang pada 50:50.

3-Series untuk pasaran Malaysia dilengkapi dengan suspensi M Sport yang merendahkan kereta dan memberi pemanduan lebih dinamik. Selain itu, ia turut mendapat brek M Sport dengan angkup biru dan logo M, roda aloi M Light Alloy Double Spoke Style 790 M 18-inci.

BMW 3 Series yang baharu ditawarkan dalam lima warna menarik; Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, Sunset Orange, dipadankan dengan warna hitam premium atau upholsteri ‘Cognac Leather Vernasca’ dan kemasan trim interior ‘Aluminium Tetragon’.

BMW 3 Series yang baharu boleh didapati daripada pengedar BMW bertauliah di seluruh negara, bermula dari 28 Mac 2019. 

Teknologi keterhubungan 

Fungsi BMW Intelligent Personal Assistant membolehkan pemandu boleh mengawal pelbagai fungsi jentera ini seperti navigasi dan penyaman udara dengan hanya memberikan arahan suara.

Dengan BMW Digital Key, jentera BMW 3 Series baharu ini boleh dibuka dan dikunci dengan mudah menerusi penggunaan teknologi Near Field Communication (NFC) yang dilengkapi dalam pilihan telefon pintar Android Samsung apabila diletakkan berhampiran pemegang pintu.

Enjin kenderaan ini kemudiannya boleh dihidupkan dengan meletakkan telefon pintar ke dalam ruang penyimpanan yang turut mempunyai fungsi pengecasan.

BMW 3 Series yang baharu juga didatangkan dengan Bantuan Parkir (Parking Assistant), sistem berkeupayaan tinggi yang boleh membuat olahan keluar dari ruang parkir yang sempit.

Apabila diaktifkan, sistem Bantuan Parkir ini boleh memarkir jentera tersebut di ruang yang selari atau serenjang dengan jalan raya. Tambahan lagi, Bantuan Mengundur (Reversing Assist) mampu memberikan pertolongan dengan cekap apabila pemandu harus mengoperasikan kenderaan ini dalam ruangan yang sempit. 

Antara fungsi lain yang melengkapi barisan ciri-ciri inovatif yang ekstensif ini ialah ‘BMW Live Cockpit Professional’. Ia menggandingkan paparan boleh diubah suai serta paparan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25. 

#BMWMYTHELEGEND

#BMWMY3SERIES

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here