Portbike Motoday 2020 meriah, himpun belia dan peminat motosikal Utara

3352

Lebih 20,000 orang membanjiri Portbike Motoday (PMD2020) yang telah berlangsung di perkarangan Port Bike, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah baru-baru ini. Acara ini adalah salah satu inisiatif sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

PMD2020 menyasarkan golongan belia yang meminati aktiviti bermotor khususnya dua roda, dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun seperti motorshow, cabutan bertuah, forum keselamatan, sesi soal jawab, booth jualan dan persembahan artis tempatan.



Program ini mempunyai kelainan berbanding penganjuran Motoday lain kerana ia menggabungkan beberapa cabang aktiviti permotoran dua roda utama yang segar di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, PMD 2020 menyatukan pemilik serta peminat arena permotoran tanpa mengira latar belakang untuk berhimpun dalam penganjuran berskala besar yang julung kali diadakan di Kedah.

Terdapat juga aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan yang diterapkan dalam program ini. Kutipan tabung derma kilat diadakan bagi mengutip dana tabung perjalanan dan pengurusan Masjid Mat Moto Se-Malaya yang akan didirikan di daerah selatan Thailand.

PMD 2020 juga menyaksikan kehadian tetamu jemputan iaitu Exco Belia Dan Sukan Negeri Kedah, YB Asmirul Anuar sebagai salah satu usaha dan tanda sokongan pihak kerajaan tempatan untuk program seperti ini bagi golongan belia.

Bekas pelumba tanah air, Wazi Abdul Hamid turut hadir bersama dan sempat memberikan nasihat kepada golongan belia ini tentang kempen keselamatan jalanraya dan mengajak pengunjung menjadi penunggang yang lebih berpengetahuan di jalan raya.

Dan sudah tentu, agenda utama yang ditunggu oleh para peserta dan pengunjung; cabutan bertuah. Kali ini, penganjur menawarkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha RX-Z kustom sepenuhnya, kedua-duanya berwarna kelabu. Ala Nardo Grey gitu..

Yamaha Y15ZR dimenangi oleh pengunjung bertuah Mohd Azaruddin Adanan dari Wang Tepus, Kubang Pasu. Sementara itu, Yamaha RX-Z bernilai RM12,000 itu pula dimenangi oleh Muhamad Yusri Bin Md Salleh dari Bayan lepas, Pulau Pinang.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kerajaan Negeri Kedah dan Tourism Kedah.

Penghargaan juga ditujukan kepada semua penaja atas kepercayaan serta penajaan yang diberikan untuk program kali ini.

Teks/gambar: Raziman Sipico

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here