Goodyear pembekal tayar rasmi Pure ETCR, teknologi tayar untuk kereta biasa di masa depan?

1824

Goodyear telah dilantik menjadi pembekal rasmi untuk kejuaraan kereta touring elektrik iaitu Pure ETCR. Tayar itu akan menggabungkan bahan terkini dari tayar kereta elektrik Goodyear dan bahan tayar prestasi tinggi Eagle F1 SuperSport.

Spesifikasi muktamad tayar itu akan didedahkan beberapa bulan lagi pada musim bunga, iaitu sebelum bermulanya perlumbaan pertama Pure ETCR.



Pembinaan jenis sukan permotoran sebenar akan digunakan, tetapi dengan sedikit alur bunga. Ini membolehkan pelumba Pure ETCR menggunakan tayar yang sama untuk permukaan kering dan basah, lantas menguragkan jumlah tayar yang perlu digunakan di setiap perlumbaan.

Ini sejajar dengan misi Goodyear dan Pure ETCR untuk bersama-sama mencari solusi mampan untuk masa depan mobiliti dan sukan permotoran.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran Goodyear Eropah, Mike Rytokoski berkata: “Godyear ialah perintis dalam pembangunan tayar kereta elektrik. Di Eropah, separuh pembangunan tayar OEM kami adalah untuk hibrid dan EV.”

Menurutnya lagi, kereta prestasi elektrik jalanan adalah berbeza dengan pesaingnya yang menggunakan petrol atau diesel. Kereta-kereta ini lebih berat dan menghantar kuasa sekelip mata.

“Goodyear telah membangunkan tayar yang mampu bertahan dengan penghantaran kuasa cepat ini, memberikan cengkaman tinggi dengan rintangan golekan yang rendah untuk meningkatkan kecekapan,” tambahnya.

“Kerjasama kami dengan Pure ETCR adalah lebih dari sekadar membekalkan tayar perlumbaan. Kami bersama-sama menggunakan perlumbaan untuk membangunkan teknologi yang mengujakan untuk pemandu biasa di luar sana,” katanya.

Pure ETCR akan dipromosikan oleh Eurosport Events, organisasi sama yang menjalankan WTCR – FIA World Touring Car Cup yang juga mendapat bekalan tayar dari Goodyear untuk 2020.

Pure ETCR ini akan menjanjikan kereta produksi biasa yang berprestasi tinggi dari pelbagai pengeluar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here