Volkswagen Golf GTI Mk8 2020 bakal hadir dengan lebih kuasa, lebih teknologi dan penampilan lebih moden

3194

Tidak lama lagi menjelang Geneva Motor Show, Volkswagen telah mendedahkan hot hatch generasi ke-8 kesayangannya, Golf GTI.

Seperti biasa, terdapat perbezaan pada GTI berbanding Golf biasa. Muka depannya mendapat bar di atas gril dengan kemasan merah. Bar ini juga bersambung hingga ke dalam lampu, membentuk satu garisan lebar.



Kluster lampu LED di bawah gril juga unik, menambah karakter kepada rupa Golf GTI ini. Ia dilengkapi rim hampir serupa dengan GTI sebelum ini, tetapi dengan rekaan lebih bersegi. Angkup brek merah menjadi pelengkap gayanya.

Di belakang, lampu LED semakin nipis menghiasi ruang ini, dengan spoiler belakang senget dan diffuser yang turut dilengkapi dua ekzos. Logo GTI yang ikonik telah dialih ke tengah di bawah logo Volkswagen.

Untuk bahagian dalam, GTI Mk8 akan hadir dengan sistem infotainmen 10-inci di ruang tengah, paparan instrumen digital, dan lampu ambien dengan pilihan 30 warna. Terdapat juga pilihan naiktaraf paparan instrumen 10.25-inci yang disertakan sistem navigasi.

Tempat duduk dikekalkan dengan kemasan fabrik plaid (seperti kain pelikat) yang menjadi kegemaran peminatnya, dengan jalur dan jahitan merah.

Konsol tengah kini menampilkan tombol gear baharu yang lebih kecil dan menggunakan fungsi digital sepenuhnya. Butang penghidup enjin pula berbentuk petak dan berkelip sebelum enjin dihidupkan.

Akhir sekali, roda stereng direka semula dan mendapat logo VW baharu, seksyen tengah lebih besar dan kemasan merah. Sekilas pandang, ruang kabin Golf GTI ini seperti lebih matang, tetapi terdapat elemen muda dan nakal padanya.

Kini, bahagian enjinnya. Sama seperti Mk7 sebelum ini, ia dipacu oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder yang boleh dipadan dengan transmisi manual 6-kelajuan atau DSG dwi-klac 7-kelajuan.

Bergantung kepada pasaran, Golf GTI Mk8 akan menghasilkan sekitar 245hp dan 370Nm tork. Suspensi depan ialah topang MacPherson manakala multi-link di belakang.

Terdapat juga sistem casis adaptif, atau DCC yang boleh menyesuaikan tetapan mengikut keadaan permukaan jalan dan input pemandu pada stereng, brek dan pedal minyak.

Bila tiba ke Malaysia? Kami belum ada jawapan, namun kami akan laporkan sebaik sahaja kami mempunyai maklumat.

Sementara itu, mana satu jadi pilihan anda? VW Golf Mk8 ini, atau Honda Civic Type-R, Renault Megane RS 280 Cup atau Hyundai i30 N?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here