Batman meronda Mexico City dengan Batmobile untuk suruh orang ramai duduk rumah

1760

Batman selalu mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dan melawan kejahatan. Namun kali ini beliau mempunyai cabaran lebih besar.

Seorang lelaki tak dikenali dilihat memberikan kesedaran kepada orang ramai di Monterrey, timur laut sempadan Mexico di Nuevo Leon.



Bruce Wayne versi Mexico itu memandu sekitar bandar dalam replika Batmobilenya, serupa dengan kenderaan dalam filem Dark Knight.

Mesejnya mudah dan jelas – duduk di rumah.

“Saya seorang tak cukup untuk menjalankan tugas ini,” katanya dari mesej rakaman di pembesar suara keretanya.

“Hei kamu di dalam rumah tu, cuba kurangkan keluar rumah, dan kita sama-sama jadi wira melawan Coronavirus.”

Lelaki itu risau akan keluarga yang merisikokan diri mereka, terutamanya kanak-kanak yang berjalan-jalan di sekitar bandar walaupun petugas kesihatan memberi amaran berkenaan pandemik.

Dia mencadangkan lebih baik orang ramai “pasang TV, ambil kesempatan luangkan masa bersama anak-anak” daripada berkeliaran di tempat awam dan dijangkiti virus kemudian menyebarkannya kepada orang lain.

Superhero itu tidak berseorangan dalam melawan wabak ini di sana. Gabenor Nuevo Leon, Coahuila dan Tamaulipas, yang mana bersempadan dengan Texas, Amerika Syarikat, menggesa kerajaan Mexico untuk menyekat kemasukan dari AS menjelang Holy Week.

Ketiga-tiga negeri di utara Mexico itu menjangkakan ramai rakyat Mexico dan AS akan kembali ke Mexico dan menghabiskan cuti mereka dengan keluarga serta melancong dan tidak menjaga penjarakan sosial seperti disaran pihak kesihatan.

Setakat Selasa, kerajaan Mexico telah merekodkan 28 kematian dan 1,094 pesakit positif Covid-19.

Mexico mengisytiharkan darurat kesihatan pada Isnin dan mengetatkan kawalan undang-undang dalam membanteras wabak yang cepat merebak itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here