Covid-19: Lebih 46 hospital terima PPE dari Proton, penghantaran selesai lebih awal dari dijadualkan

1148

Ketika Proton mula menyerahkan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan perubatan pada 16 April lalu, keseluruhan proses penghasilan dan penghantaran komponen peralatan perlindungan diri (PPE) tersebut dijangka akan mengambil masa selama 20 hari.

Namun, proses itu berjaya diselesaikan lebih awal daripada yang dijadualkan di mana kini kumpulan terakhir pelindung muka tersebut akan diserahkan pada 30 April 2020.



“Proton ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan sukarelawan syarikat yang bersungguh-sungguh menghasilkan pelindung muka tersebut.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pos Logistics Berhad, kerana berjaya menghantar peralatan tersebut dengan selamat dan kepada HICOM-Teck See Manufacturing kerana menyumbangkan bahan untuk menghasilkan bingkai peralatan tersebut,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Menurut beliau lagi, setakat jam 4 petang 28 April, penghantaran telah dilakukan ke 46 hospital di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Proton mulanya bertujuan menghasilkan pelindung muka tersebut adalah khusus untuk petugas barisan hadapan perubatan namun bermula pada 4 Mei, syarikat nasional itu akan mula menghasilkan fasa kedua peralatan tersebut.

Dengan mendapat kerjasama daripada syarikat induk iaitu DRB-HICOM, pelindung muka tersebut kemudiannya akan diedarkan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 yang lain seperti polis (PDRM), angkatan tentera (ATM) dan industri perkhidmatan lain.

 

“Untuk fasa kedua ini, kami akan menghasilkan tambahan 60,000 pelindung muka dan edaran akan ditumpukan kepada anggota PDRM dan ATM yang mengawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penghasilan peralatan tersebut akan bermula pada 4 Mei dan memandangkan pada penambahbaikan yang dilakukan sebelum ini, kami menjangkakan ia akan disiapkan pada 9 Mei,” tambah Dato’ Radzaif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here