Korea Selatan perkenalkan lesen memandu digital

2286

Rakyat Korea Selatan kini dapat menyimpan lesen memandu dalam telefon pintar mereka dengan menggunakan aplikasi pengesahan identiti yang dipanggil sebagai PASS.

lesen memandu digital

Korea Selatan baru-baru ini melancarkan perkhidmatan lesen memandu digital melalui aplikasi pengesahan identiti, yang kini digunakan oleh 30 juta orang untuk transaksi kewangan mudah alih.



Lesen memandu digital, yang dapat diakses melalui PASS, telah dibangunkan bersama oleh tiga syarikat telekomunikasi, Agensi Polis Nasional, dan Lembaga Trafik Jalan Raya Korea Selatan.

“Lesen memandu digital merupakan inisiatif pertama di mana identiti rasmi versi digital digunakan sebagai bentuk pengesahan identiti yang sah,” kata SK Telecom dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga syarikat telekomunikasi tersebut iaitu SK Telecom, KT dan LG Uplus telah menghubungkan pelayan pengesahan identiti mereka dengan sistem lesen memandu Agensi Polis Nasional Korea Selatan.

Mereka juga menggunakan teknologi blockchain untuk mengesahkan kesahihan maklumat lesen memandu dan juga untuk menyekat percubaan mendaftarkan lesen memandu palsu.

Sk Telecom juga turut mengumumkan, pengguna PASS dapat mendaftarkan lesen memandu mereka di aplikasi melalui proses pengesahan. Namun, pengguna hanya boleh mendaftarkan satu telefon pintar dengan nama mereka.

“Untuk pengesahan identiti, aplikasi tersebut akan memaparkan gambar pengguna pada lesen memandu mereka bersama dengan kod QR dan kod bar,” katanya.

Mulai bulan Julai tahun ini, teknologi ini juga akan digunakan untuk penerbitan semula dan pembaharuan lesen memandu.

“Agensi Polis Nasional Korea Selatan akan melakukan kerjasama dengan tiga syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan lesen memandu digital, yang dapat membantu mengatasi masalah seperti lesen memandu palsu,” kata Min Gap-ryong, ketua pesuruhjaya Agensi Polis Nasional Korea Selatan.

Sumber: wheels.ph

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here