Guna telefon bimbit semasa memandu, pemandu Myvi ditahan selepas langgar papan tanda sekatan jalan raya

1497

Tindakan seorang lelaki yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas merempuh papan tanda sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

memandu telefon bimbit
gambar hiasan

Dalam kejadian jam 5.50 petang semalam, lelaki berusia 40 tahun yang memandu Perodua Myvi itu difahamkan dalam perjalanan untuk membeli makanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, suspek melanggar papan tanda pemeriksaan menyebabkan berlaku kerosakan. Polis menahan suspek dan merampas keretanya untuk tindakan lanjut.



“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku cuai sewaktu memandu kerana menggunakan telefon bimbit dan memberikan alasan keluar rumah untuk membeli makanan di Taman Gembira, Jalan Klang Lama,” kata Anuar.

Anuar berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil saringan air kencing juga negatif.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kerana kecuaian akan membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Orang ramai juga diminta mematuhi arahan dan prosedur operasi standard PKP yang dikuatkuasakan kerajaan,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here