Perodua Ativa dilancar! Ini 10 perkara anda wajib tahu

5214

Akhirnya kenderaan yang anda nanti-nantikan, Perodua D55L atau nama rasminya Ativa telah dilancar hari ini. Seperti pelancaran lain dalam musim pandemik ini, pelancaran Ativa juga dibuat secara maya di laman web Perodua.

Baik, sekarang kami akan kongsikan 10 perkara yang anda wajib tahu mengenai SUV kompak hangat yang pasti menjadi fenomena di Malaysia.



Sebelum itu, kita semua harus jelas bahawa Perodua Ativa memang mempunyai banyak persamaan dengan Toyota Raize dan Daihatsu Rocky kerana kesemua model ini dibangunkan bersama. Hanya beberapa perkara kecil seperti aspek kosmetik yang membezakan adik-beradik ini.

1. Harga dan varian

Perkara pertama, harga dan varian. Ativa ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan yang tertinggi, AV.

Harga masing-masing adalah seperti berikut:

  • Perodua Ativa X – RM61,500
  • Perodua Ativa H – RM66,100 hingga RM66,600
  • Perodua Ativa AV – RM71,200 hingga RM72,000

2. Enjin turbo pertama Perodua

Perodua Ativa dikuasakan oleh enjin 1.0-liter 1KR-VET turbo tiga-silinder. Enjin 996cc ini menghasilkan 98hp pada 6,000rpm dan 140Nm tork pada 2,400rpm.

Walaupun ia merupakan enjin turbo pertama Perodua, asas enjin ini iaitu 1KR-VE sudah digunakan pada model sedia ada seperti Axia dan Bezza.

3. Transmisi CVT pertama

Bukan sahaja enjin turbo, transmisi CVT pada Ativa ini juga yang pertama untuk Perodua. Lebih tepat lagi, D-CVT. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai D-CVT dan perbezaannya dengan CVT biasa di sini.

Gabungan enjin 1.0-liter turbo tiga-silinder dengan D-CVT memberikan Perodua Ativa penjimatan bahan api sehingga 18.9km per liter.

4. Dibina di atas pelantar DNGA

Apa benda pula ni kan? Baik, DNGA bermaksud Daihatsu New Global Architecture, hampir sama seperti TNGA pada Toyota.

Pelantar ini dibangunkan pada 2019, ini juga bermakna Perodua Ativa menggunakan platform global yang moden.

DNGA juga merupakan pelantar jenis monocoque atau unibody, jadi ia lebih sofistikated dari jenis ladder frame yang terdapat pada Aruz.

5. Lampu depan dan belakang LED

Perodua Ativa didatangkan dengan lampu LED automatik untuk depan dan belakang secara standard untuk semua varian.

Khas untuk varian H dan AV, sistem lampu LED ini mendapat fungsi Adaptive Driving Beam yang mampu kekal pada high beam tetapi merendahkan pada bahagian-bahagian tertentu untuk mengelakkan silau. Fungsi kereta premium ni!

6. Paparan instrumen digital 7.0-inci

Varian H dan AV dilengkapi dengan paparan instrument digital 7.0-inci yang juga menjadikan Ativa model pertama Perodua tanpa meter analog. Canggih, kan?

7. Skrin infotainmen floating 9.0-inci

Di panel tengah pula, terdapat skrin jenis floating bersaiz 9-inci untuk sistem infotainmen (varian H dan AV sahaja).

Selain fungsi-fungsi biasa seperti radio, media dan Bluetooth, ia juga menyokong fungsi Smart-Link untuk sambungan dengan telefon pintar.

8. Advanced Safety Assist (ASA)

Sama seperti Myvi, Bezza dan Aruz, Perodua Ativa juga dilengkapi pakej Advanced Safety Assist (ASA). Dua ciri iaitu Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Departure Prevention (LDP) sebagai standard.

Walaubagaimanapun khas untuk varian AV, terdapat tambahan Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor (BSM), dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), menjadikannya bertaraf Autonomous Level 2.

Perodua Ativa juga menerima penarafan 5-bintang dalam ASEAN NCAP.

9. Pilihan warna

Ativa varian X dan H boleh dipilih dengan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue, dan varian H juga boleh didapati dengan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red.

Varian AV lebih istimewa, dengan pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red, serta tambahan warna dwi-tona (bumbung dan tiang-A hitam) untuk dua warna Pearl tadi.

10. Waranti dan jaminan

Perodua Ativa ditawarkan dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here