Toyota GR 86 2021 didedah, kereta sports serba baharu dengan resepi tradisional

2157

Toyota hari ini telah mendedahkan kereta sports GR 86 mereka kira-kira lima bulan selepas kembarnya, Subaru BRZ membuat kemunculan global.

Toyota 86 ini merupakan jentera sports serba baharu dengan resepi tradisional. Ia menampilkan enjin baharu yang lebih besar dan berkuasa, teknologi terkini, tetapi mengekalkan resepi keseronokan memandu seperti transmisi manual 6-kelajuan.



Perbezaan utama Toyota GR 86 dari Subaru BRZ adalah gril depan yang lebih agresif, dan penggunaan lampu depan LED yang sedikit berbeza.

Untuk memastikan ia seronok dipandu, berat mestilah dipantau. Jadi, GR 86 menggunakan bahan aluminium ringan untuk bumbung dan fender, serta beberapa perubahan kepada tempat duduk dan peredam ekzos.

Torsional rigidity atau ketegaran badannya adalah 50 peratus lebih tinggi untuk memastikan kestabilan. Dengan pilihan transmisi manual, Toyota GR 86 hanya seberat 1,270kg. Terdapat juga pilihan automatik 6-kelajuan.

Toyota GR 86 2021 akan dikuasakan olejh enjin 2.4-liter yang menggantikan unit 2.0-liter sebelum ini. Masih naturally-aspirated (NA), enjin ini cukup untuk menjana 232hp pada 7,000rpm dan 250Nm pada 3,700rpm. Angka-angka ini pastinya cukup untuk memberi keseimbangan dalam pemanduan hujung minggu ke Ulu Yam atau Genting Highlands.

Dari segi casis, GR 86 dilengkapi suspensi depan topang MacPherson manakala belakang menggunakan double-wishbone. Rim adalah 18-inci dengan tayar 215/40.

Rekaan kabin GR 86 adalah serupa dengan kembarnya, BRZ. Perbezaan terhad kepada balutan tempat duduk unik dan lencana GR di roda stereng.

Ia didatangkan dengan paparan digital 7-inci untuk pemandu, dan unit skrin sesentuh 8-inci untuk sistem infotainmen.

Toyota GR 86 akan mula dijual di Jepun pada musim luruh ini sebelum tiba ke pasaran-pasaran lain kemudian.

Antara Toyota GR 86 dan Subaru BRZ, mana satu jadi pilihan anda?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here