Toyota Vios dan Hilux terus kuasai segmen! UMWT catat peningkatan jualan suku pertama 2021

1559

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melaporkan bahawa Corolla Cross yang baru diperkenalkan beberapa minggu lepas telah mendapat sambutan positif dari pasaran. Syarikat itu akan terus menerima tempahan kedua-dua varian 1.8G dan 1.8V yang ditawarkan.

UMWT juga merekodkan jualan memberangsangkan untuk suku pertama tahun ini dengan lebih 17,000 unit kenderaan Toyota dan Lexus terjual. Angka ini merupakan peningkatan 62 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dan bermakna UMWT memegang 12.1 peratus pasaran.



Menurut Ravindran K, Presiden UMWT, berbanding pandemik yang baru melanda tahun lepas, situasi kali ini berbeza dengan program PENJANA yang dijalankan kerajaan sehingga 30 Jun ini.

“Momentum kami bermula dengan pelancaran GR Yaris dan Vios GR-Sport pada Disember lepas,” katanya.

Model paling popular Toyota adalah Vios dan Hilux yang terus menguasai segmen masing-masing. Toyota Innova dan Fortuner pula diberikan kemaskini dan kelengkapan baharu awal tahun ini.

Sementara itu, Toyota Yaris kekal menjadi hatchback bukan nasional paling popular suku pertama tahun ini dengan penguasaan pasaran 73 peratus.

Berkenaan model prestasi tinggi GR Yaris, ia melebihi jangkaan. Hampir kesemua unit untuk pasaran Malaysia (dari 25,000 unit seluruh dunia) habis ditempah dalam masa sebulan selepas pelancaran.

Ia menunjukkan pemandu-pemandu tegar di Malaysia tidak sabar memiliki model yang mendapat pujian penguji dan media seluruh dunia.

GR Yaris ialah salah satu dari tiga model di bawah jenama GR selain Supra dan Vios GR-Sport yang dijual melalui GR Garage.

Promosi Raya

Dengan musim perayaan yang bakal tiba, UMWT akan mengadakan promosi-promosi khas untuk pelanggan sebelum berakhirnya tempoh pengecualian cukai SST. Antaranya adalah skim pembiayaan EZ Beli dan penjimatan dari Toyota Service Savers.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here