Toyota Supra Paul Walker dari filem Fast And Furious untuk dijual

2993

Sesiapa yang meminati siri filem Fast And Furious pasti mengenali Toyota Supra yang dipandu oleh mendiang Paul Walker dalam filem tersebut. 

Malah kereta ini mungkin dikatakan Supra paling glamour di dunia disebabkan penampilannya di Hollywood. Ada juga yang mula meminati Supra kerana menonton siri filem itu.



Begitulah kuatnya impak kereta ini dalam dunia permotoran dan scene modifikasi.

Ia membuat penampilan dalam filem The Fast And The Furious pada tahun 2001 dan 2 Fast 2 Furious pada 2003. Dan kini Toyota Supra 1994 ini bakal dijual di lelongan Barrett-Jackson lengkap dengan sijil bukti keasliannya.

Bahagian luaran Supra ini disertakan dengan warna Candy Orange dari Lamborghini Diablo dan grafik Nuklear Gladiator yang cukup ikonik di bahagian sisi. Ia turut mendapat kit badan Bomex, hud TRD, spoiler aluminium APR Performance, dan rim Dazz Motorsport Racing 19-inci.

Kereta filem biasanya tidak mempunyai ruang dalaman yang sempurna, tetapi disebabkan babak dalaman juga digunakan dalam filem, kabin Supra ini agak lengkap.

Segalanya dari meter aftermarket, stereng, tempat duduk dan head unit masih ada dan nampak sesuai dengan gaya luaran kereta ini. 

Malangnya bagi anda yang menyangka Supra ini berkuasa 700hp atau 1,000hp, hakikatnya kereta ini masih dalam keadaan stock. Tetapi enjin asal 2JZ-GTE turbo 3.0-liter 6-silinder sebaris ini tetap mantap, dan dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.

Lelongan akan diadakan pada 17 hingga 19 Jun ini. Belum ada anggaran harga, tetapi ia pastinya tidak murah memandangkan statusnya antara kereta Fast And Furious paling popular ini.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here