MBM lancar S 580 e Plug-In Hybrid versi CKD ke pasaran tempatan

1317

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan model perdana  Mercedes-Benz S-Class yang bakal menetapkan tanda aras limousin mewah di pasaran tempatan.

S-Class ialah limousin mewah terlaris di dunia dan kehadiran S 580 e baharu merupakan model pemasangan tempatan (CKD) seperti pendahulunya. Harga jualan hanya akan diumumkan pada Januari depan. 



Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp, menjelaskan ia adalah bukti komitmen Mercedes-Benz untuk mengukuhkan kedudukan jenama itu di pasaran tempatan.

Mercedes-Benz S 580 e Plug-In Hybrid ditawarkan dengan enjin 3.0 liter 6-silinder yang menghasilkan kuasa 367hp @ 5,500-6,100rpm dan tork maksimum 500Nm @ 1,600-4,500rpm bersama transmisi 9G-Tronic.

Pecutan dari 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 250kmj.  S-Class dipadankan dengan bahasa reka bentuk klasik menerusi overhang depan pendek, jarak roda panjang dan overhang belakang yang seimbang.

Trek roda yang lebar dengan rim aloi 19-inci memberikan penampilan muskular bahkan Mercedes juga mengurangkan garis badan di bahagian sisi.

Imej depan semakin menyerlah menerusi gril radiator lebih besar yang kemudian dipadankan dengan lampu depan digital dengan tiga modul LED yang berkuasa bersama Bantuan Lampu Tinggi Adaptif Plus.

S-Class sentiasa mengutamakan kemewahan dan keselesaan dalam kabin. Tawaran kemasan ukiran kayu pada papan pemuka, konsol tengah dan tempat letak tangan memberikan perincian mewah yang kemudian dipadankan dengan pengurangan butang kawalan agar tampil minimalis. 

Turut tersedia sistem bunyi sekeliling 3D Burmester yang menawarkan audio berkualiti tinggi. Sementara, kerusi kemasan kulit nappa menampilkan rekaan lapisan tiga dimensi. 

Ciri baharu adalah kusyen perehat kepala tambahan untuk dua tempat duduk belakang yang boleh dilaras secara elektrik. Pelarasan konfigurasi sudut kerusi penumpang depan dan tahap sandar kerusi belakang juga  ditambah baik.

Antara ciri peralatan lain yang ditawarkan pada kabin S-Class adalah Keyless-Go, konsol tengah dengan kemasan hitam kristal, stereng multi-fungsi, kerusi eksekutif, ciri pemanas leher dan bahu kerusi belakang, pencahayaan suasana, kawalan pendingin hawa thermotronic dan lain-lain. 

Demi ketenangan minda pemilik, S-Class ditawarkan dengan ciri keselamatan seperti pakej bantuan pemandu, Bantuan Jarak Aktif Distronic, Bantuan Parkir Aktif dan Parktronic, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Stereng Aktif, Pre-Safe impulse side, kamera 360 darjah, perlindungan pejalan kaki, sistem pemantauan angin tayar, sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz dan lain-lain. 

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here