Hilang tanpa jejak, kapal selam Ara San Juan muncul selepas setahun

2544

Kisah ini berlaku lima tahun lalu yang mana sebuah kapal selam tentera laut bersama 44 kru hilang tanpa jejak di perairan Argentina. 

Kapal selam ARA San Juan itu hilang pada 15 November 2017 iaitu 430km dari pantai Argentina.



Operasi mencari besar-besaran di udara dan laut membabitkan 13 negara dilancarkan 48 jam selepas San Juan dilaporkan hilang tetapi majoritinya menarik diri sebelum hujung tahun 2017.

Harapan ahli keluarga menemui insan tersayang dalam keadaan ‘hidup’ musnah apabila pihak kerajaan mengumumkan operasi mencari ditamatkan selepas dua minggu kehilangan kapal selam itu. 

Apa yang berlaku

Kru yang hilang.

Kejadian tragis itu berlaku ketika ARA San Juan kembali dari misi rutin ke Ushuaia berhampiran hujung selatan Amerika Selatan. 

Tiba-tiba pusat kawalan menerima panggilan laporan ‘kerosakan elektrik’ dari Kapten ARA San Juan. Komander tentera laut, Gabriel Galeazzi melaporkan berlakunya litar pintas di bahagian bateri kapal.

Pihak kawalan mengarahkan kapal selam tersebut pulang ke pangkalan tentera laut di Mar del Plata dengan segera.

Komunikasi terakhir  dengan kapal berlaku kira-kira jam 7:30 pagi pada 15 November yang mana kapten melaporkan kesemua anak kapal berada dalam keadaan baik. 

Lapan hari selepas kapal selam itu hilang, Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif yang berpangkalan di Vienna berkata pihaknya mengesan bunyi bising beberapa jam selepas hubungan terakhir dengan kapal selam itu.

Jabatan yang mengendalikan operasi ‘pendengaran’ bagi memantau letupan nuklear, berkata berlakunya ‘anomali hidro-akustik’ kira-kira 60km utara di kedudukan terakhir kapal selam itu pada jam 10:31 pagi. 

Tentera laut Argentina membuat andaian kemungkinan bunyi berkenaan disebabkan letupan yang dihasilkan kapal selam itu. 

AIR MASUK BAHAGIAN SNORKEL

Jurucakap tentera laut, Enrique Balbi memberitahu pemberita, air telah memasuki snorkel kapal selam yang digunakan untuk mengambil udara dari atas permukaan air apabila kapal selam itu tenggelam.

Air masin itu menitis ke bahagian atas dulang bateri yang menyebabkan litar pintas namun hilang sebelum sempat tiba di pangkalan. 

Bahkan, ketika itu pihak tentera laut juga mengkaji jika kapal selam berkenaan boleh dibawa naik ke permukaan. Mereka memutuskan kapal selam itu bersemadi di lautan dalam tanpa menemui serpihan badan. 

Cara tentera laut mengendalikan kejadian itu dikecam hebat dan beberapa pegawai kanan turut dipecat termasuk panglima tentera laut, Marcelo Srur.

Pihak berkuasa membuka siasatan jenayah selepas menerima arahan daripada seorang hakim di Caleta Olivia, sebuah bandar pelabuhan di Patagonia di mana kes maritim biasanya dibicarakan.

PENEMUAN SETELAH SETAHUN

Alat AUV yang digunakan oleh syarikat Ocean Infinity mengesan ARA San Juan di laut dalam.

Bagaimanapun setelah setahun kehilangan, pihak Argentina mengupah syarikat maritim, Ocean Infinity untuk mencari dan mengesan lokasi kapal selam itu selepas kegagalan operasi mencari besar-besaran antarabangsa.

Ocean Infinity mempunyai kepakaran untuk mengimbas dasar laut dan pernah terlibat dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang di Lautan Hindi.

Selepas dua bulan pencarian, Ocean Infinity menemui bangkai kapal selam pada 2,850 kaki di bawah permukaan Lautan Atlantik. Syarikat tersebut menggunakan Kenderaan Bawah Laut Autonomi (AUV) yang dijalankan oleh sepasukan kira-kira 60 anak kapal di atas Seabed Constructor.

Kapal Seadbed Constructor

Selain itu, tiga pegawai Tentera Laut Argentina dan empat ahli keluarga anak kapal ARA San Juan menyertai misi pencarian kapal selam berkenaan. 

Untuk makluman, AUV mampu beroperasi pada kedalaman 5 meter hingga 6,000 meter dan meliputi kawasan luas dasar laut pada kelajuan yang tiada tandingan.

AUV yang dilengkapi dengan sonar imbasan sisi dan kamera gema definisi tinggi itu tidak diikat pada kapal hos ketika operasi yang membolehkan alat itu menjelajah lebih dalam untuk mengumpul data.

Menurut CNN, pihak tentera laut berkongsi tiga keping imej (layar, menara, kipas) kapal ARA San Juan kepada ahli keluarga mangsa.

Imej pertama (atas) yang disiarkan oleh tentera laut Argentina menunjukkan bahagian depan badan kapal selam yang menggunakan material keluli khas 33mm dengan tiub torpedo yang boleh dilihat.

Komponen 82 kaki panjang dan 23 kaki lebar itu ditemui dalam satu bahagian, walaupun telah mampat dan berubah bentuk disebabkan tekanan air.

 

Menteri Pertahanan, Oscar Aguad memberitahu pihaknya tidak memiliki keupayaan untuk mengambilsemula kapal selam yang tenggelam itu.

“Tidak, kami tidak mempunyai cara untuk turun ke kedalaman laut itu dan tidak mempunyai peralatan untuk membawa kapal selam itu keluar dari kedalaman sedemikian,” jelasnya.

ARA San Juan ialah kapal selam diesel lama yang dibina di Jerman pada pertengahan 1980-an tetapi dipasang semula dengan enjin dan bateri baharu sekitar lima tahun sebelum kehilangannya.

Kapal selam itu direka bentuk semula bagi memiliki jangka hayat sekitar 30 tahun. Jika utuh selepas letupan, badan kapal selam itu dijangka mampu menahan kedalaman lautan sehingga sekitar 500 hingga 600 meter. Bawah daripada kedalaman itu ia akan melengkung disebabkan tekanan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here