Pemandu BMW kemalangan cederakan tiga beranak beri keterangan

1848

Polis mengambil keterangan pemandu BMW 330E yang terbabit kemalangan hingga menyebabkan tiga beranak cedera di Kilometer 385.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Tanjong Malim, kelmarin. 

Kejadian pada jam 7.30 malam itu tular dalam media sosial sejak semalam selepas seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan terbabas.



Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq berusia empat bulan tercampak ke tengah jalan akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis berkaitan kemalangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 3.17 petang, semalam.

Dia juga tampil di IPD Muallim pada jam 10 malam untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam kejadian itu, pemandu BMW berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan kerosakkan pada kenderaan iaitu calar pada bahagian sisi belakang kanan dan rim tayar bahagian belakang sebelah kanan.

“Punca kemalangan disebabkan mengubah haluan yang mana kereta BMW yang sebelum itu berada di lorong tengah secara tiba-tiba masuk ke lorong kanan di depan laluan Proton Inspira,” katanya.

Dalam kejadian itu, pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu cuba mengelak daripada melanggar kereta suspek namun kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kanan BMW.

Kereta mangsa kemudian terbabas lalu terlanggar besi pembahagi jalan di tengah lebuhraya. 

“Mangsa mengalami luka di bahagian tangan kanan manakala isterinya retak pada pergelangan kaki kiri. Bayi lelaki berusia empat bulan pula cedera parah iaitu patah tulang peha, patah tulang pinggul dan pendarahan di bahagian otak. 

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan sementara bayi lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here