Ustaz RX-Z sering ride bawa mak, kembalikan nostalgia bersama arwah bapa

2297

Cinta dan pengorbanan orang tua terhadap anak tersangatlah besar sehingga tidak terbalas mahupun digantikan dengan apa cara sekalipun. Namun tindakan yang kecil sebenarnya mampu menggembirakan mereka. 

“Dapat tengok mak tersenyum..cukup manis. Orang tua di hujung usia kita cuba gembirakan hati mereka.



“Tengok dia senyum, makan apa yang dia nak, dapat rasakan dulu apa yang dia tidak dapat cukup bermakna,” kongsi Muhamad Rafie Muhamad Rejab, 36 kepada Motoqar.

Kedua orang tuanya banyak berkorban dan mengetepikan keperluan dan kehendak diri demi lima orang anak yang bersekolah di asrama. 

Rafie yang juga seorang ustaz tular baru-baru ini apabila membawa cinta hatinya menunggang Yamaha RX-Z selepas menyertai konvoi perhimpunan motor itu di Terengganu.

Rafie meneruskan solo ride menuju ke Bukit Pinang, Jitra, Kedah menemui ‘syurganya’ sebelum pulang ke Seremban, Negeri Sembilan. Perjalanan lebih daripada 1000km itu bagi menggembirakan ibunya. 

SERING BAWA JALAN-JALAN

Itu bukanlah kali pertama dia menunggang bersama Siti Hajar Musa, 63. Jelasnya setiap kali berpeluang pulang ke Kedah menggunakan motor dia akan membawa ibunya jalan-jalan sekitar Kedah.

“Dulu ayah selalu bawa mak naik motor. Sejak ayah tiada hampir 13 tahun saya pula sering bawa mak menunggang motor,” cerita bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tambahan ketika remaja, Rafie jarang meluangkan masa dan membawa ibunya menaiki motor kerana bersekolah di Maahad Tarbiyah Islamiah, Derang, Kedah dan kemudian terbang ke Yaman melanjutkan pengajian Ijazah Syariah.

Rafie akan memanaskan enjin roda duanya setiap kali berpeluang pulang ke kampung.

“Tengoklah motor yang lepas dan OK untuk saya balik Kedah. Kalau cuti sekolah panjang saya gunakan kereta bawa family sekali,” katanya. 

Kesempatan yang ada digunakan untuk ‘dating’ bersama selain mengembalikan semula nostalgia ibunya bersama arwah bapa. Tetapi, Rafie tidak pernah menunggang jauh bersama ibunya. 

“Yelah kitapun tahu orang tua bukan larat kalau bawa ride jauh, saya pernah bawa  mak sampai ke Perlis dan tidur di sana semalam selepas pusing sekitar Kedah. Selalunya saya akan tanya dia nak pergi mana dan makan apa, saya akan bawa.

“Cuma, bila kita bawa laju tunggang GT-R tu dia tepuklah cakap adik bawa slow sikit,” tambahnya dia hanya memecut sekitar 120-140kmj jika bersama ibunya.

SUKA MOTOR SEJAK SEKOLAH RENDAH

Selain RX-Z, Rafie memiliki sembilan buah koleksi motor antaranya Kawasaki GTR 1400, SYM 185 dan Yamaha X-MAX. 

Cuma, dia sering menggunakan Yamaha RX-Z agar dapat lebih dekat lagi dengan anak muda sebagai sebahagian daripada pendekatan dakwahnya.

“Pendekatan dakwah dalam bidang pemotoran, ini cara saya mendekati belia motor. Sayapun ada kemahiran repair motor. Ini salah satu cara saya untuk ajak mereka ke masjid dan melakukan kebaikan lain. 

“Nak ikutkan masa habis belajar dulu nak jadi pomen tidak terlintaspun jadi ustaz. Tetapi ayah saya tidak setuju jadi saya sambung belajar jadi imam dan ustaz,” kongsinya yang meminati motor sejak sekolah rendah lagi.

Ketika disoal apakah perancangannya, Rafie memiliki impian untuk menunggang motor ke Mekah.

“Malaysia saya dah habis pusing, moga doa saya untuk ke Mekah dengan motor dimakbulkan,” katanya. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here