Jual kotak terpakai, dalam tempoh empat tahun pemuda ini naiktaraf Myvi ke Audi TT

2160

Bagi segelintir individu kenderaan merupakan status sosial buat mereka sementara selebihnya hanyalah sebuah pengangkutan yang menggerakkan pemilik dari titik A ke B.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Jack Pang berkongsi pengalaman melakukan pelbagai pekerjaan di usia muda bagi merealisasikan impian memiliki sebuah kereta idaman. 



Dia berkongsi kisah tersebut di grup Facebook KL娱乐站. Pang Jia Jie merantau ke Kuala Lumpur bagi melanjutkan pengajian Diploma Pemasaran di Kolej Segi sebaik tamat Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). 

Pada usia 20 tahun dengan hanya berbekalkan sebuah Perodua Myvi (2006) milik bapanya, Jack memulakan perjalanan sebagai seorang pelajar kolej dan pekerja sambilan di beberapa buah syarikat. 

Awalnya, Jack tidak merancang untuk melanjutkan pengajian sebaik lulus ujian STPM. 

“Tapi saya kena tiow sama ayah, adik-beradik, saudara sebab itulah saya sambung belajar di Kolej Segi. Masa belajar saya susun jadual, jadi sehari hanya ada satu atau dua kelas. Masa lapang selebihnya saya buat kerja part time. 

“Dalam tiga tahun belajar macam-macam kerja saya buat daripada promoter Dyson, kerja kedai elektrik, kedai runcit, serbaneka dan promoter Bubble Tea. Banyak sangat kerja sambilan sayapun tak ingat,” katanya kepada Motoqar.

BAYAR DEPOSIT TUNAI RM40K

Dia yang berusia 26 tahun memberitahu walaupun mendapat wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika itu, Jack tidak suka membuang masa.

Bahkan selain kerja sambilan tersebut dia turut mengumpul kotak-kotak terpakai untuk dijual bagi mengumpul wang. 

“Paling lama saya kerja di Dyson bermula dengan promoter saya dinaikkan pangkat jadi specialist produk sampai sekarang pelanggan masih cari walaupun saya dah tak kerja,” kongsinya yang bekerja dalam tempoh enam bulan sehingga setahun bagi pekerjaan sambilan yang dilakukan. 

“Saya selalu bekerja sampai tengah malam paling lewat balik jam 3 pagi. Ada kawan-kawan saya yang tiada duit call ibu bapa minta masukkan wang.

“Saya tak suka macam itu, mereka tak fikir ibu bapa susah nak cari duit. Usia dah 20-an boleh cari sendiri kenapa nak minta duit ibu bapa,” ceritanya.  

Hasil kerja keras yang dilakukan akhirnya Jack dapat membeli sebuah Audi TT terpakai ketika masih bergelar pelajar. Dia mengumpulkan wang deposit sebanyak RM40,000 tunai bagi meminang kereta sport yang berharga sekitar RM100,000. 

Apabila umur saya mencecah 23 tahun, saya berjaya menyimpan wang yang cukup untuk membeli kereta terpakai. 

“Orang kata maintainance mahal kereta lama, bagi saya masih OK, servis dalam RM300-RM500 setahun dua kali saja. Kalau jaga betul tiada masalahpun,” cerita anak muda asal Jelebu, Negeri Sembilan itu. 

Tambahnya dia masih menyimpan Perodua Myvi walaupun sudah memiliki kereta impian. Dia yang juga peminat tegar kereta berkongsi sering mengunjungi acara yang melibatkan automotif.  

“Ketika itu tidak kisahla program di mana saya naik teksi atau Grab pergi, lagipun saya banyak kenalan dalam bidang automotif,” katanya. 

Bahkan dalam tempoh masih lagi belajar, Jack menubuhkan perniagaan produk minyak pelincir enjin Prince Lubricant yang diusahakan sehingga kini. 

“Jika saya tak dengar kata-kata keluarga tak tahu jadi apa sebabnya habis STPM memang nak kerja.

“Misalnya kembar saya yang tak mahu habiskan belajar di kolej, saya boleh nampak beza dengan pengalaman kerja dan kelulusan yang ada, saya dapat offer lebih baik sedangkan kembar saya susah nak dapatkan kerja dan tawaran gaji rendah.

“Kalau boleh belajar dulu buatlah kerja part time, dari situ sebenarnya kita boleh dapat pengalaman yang tiada di tempat lain dan tak boleh belajar di mana-mana. Kita juga boleh bina jaringan kontak,” nasihatnya buat anak muda di luar sana. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here