Mekanik sorok ganja bernilai RM19k dalam bengkel

949

Enam suspek termasuk seorang wanita ditahan susulan penemuan ganja dengan anggaran RM19,346.12 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai, Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata tiga daripada suspek itu yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, Bukit Mertajam kira-kira jam 8.30 malam, tiga hari lalu.

Dalam serbuan tersebut polis berjaya merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.



“Serbuan kedua pula dibuat di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira jam 9.30 malam hari yang sama (dengan serbuan pertama).

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci turut ditahan manakala sebanyak satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 pula dirampas,” katanya.

Serbuan ketiga kemudian dilakukan pada jam 12.30 malam di kawasan Kubang Semang sekali gus menahan sepasang suami isteri bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja bernilai RM2,614.20.

Turut dirampas adalah satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.

Hasil risikan polis, aktiviti pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran tempatan berkenaan aktif sejak awal tahun ini.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 15,280 penagih.

Semua suspek yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama disita bersama wang tunai bernilai RM11,400. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here