Melanjutkan pengajian ke menara gading saat yang dinantikan oleh ibu bapa bagi melihat masa depan anak yang lebih cerah.
Pada kesempatan ini ada ibu bapa asal kampung akan berusaha menghantar anak mereka dengan menyewa kereta sekiranya hanya memiliki sebuah motosikal.
Namun, bagi pemuda berbangsa cina ini dia datang seorang diri pada hari pendaftaran tanpa ditemani ahli keluarga di Universiti Malaya.
“Ya, saya datang mendaftar hari ini berseorangan dengan menaiki motosikal dari Putrajaya,” kata Lau Lai Kiat.
Anak jati Johor itu berkongsi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia menyambung pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
“Motosikal ini memang saya letak di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dan saya gunakan setiap kali ‘turun’ KL.
“Untuk pendaftaran hari ini, saya bermalam di rumah rakan saya di Putrajaya, setelah mengambil motosikal saya di TBS,” katanya memulakan perbualan sambil mengelap peluh di muka.
Dia yang tiba dengan Modenas Kriss itu dengan beberapa perlengkapan yang diikat pada pelana di belakang bercita-cita menceburi bidang perniagaan setelah tamat pengajian.
“Ayah saya yang hanya bekerja sebagai buruh telah bertungkus lumus membesarkan kami adik-beradik, dan sudah tiba masanya saya cuba membalas jasanya.
“Abang jangan risau. Saya baru tukar minyak hitam bulan lepas,” kata mahasiswa jurusan Pengurusan Sukan ini lagi.