Kena ‘scam’, pelancong Malaysia bayar RM61 bagi perjalanan sejauh 2km di Thailand

1070

Seorang penunggang teksi motosikal di wilayah selatan Songkhla, Thailand mengaku mengenakan caj mahal kepada pelancong Malaysia kerana mesin basuhnya rosak.

Penunggang tersebut mendakwa itu merupakan kali pertama dia mengenakan caj berlebihan kepada pelanggan sebanyak ฿‎500 (RM61.90) bagi perjalanan sejauh 2km. 

Ahli Majlis Perbandaran Hat Yai, Suppawit Maneechot melaporkan kejadian itu di Facebook pada Isnin, 10 Oktober. Suppawit mendedahkan dia menerima aduan mengenai penunggang teksi motosikal warga Thailand daripada seorang pelancong Malaysia.



Pelancong asing itu memberitahu Suppawit tayar keretanya dikunci dan perlu membayar denda di Balai Polis Mueng Had Yai untuk membuka ‘clamp’ berkenaan. Warga Malaysia itu meminta teksi motosikal berhampiran untuk membawanya ke balai polis.

Suppawit mendedahkan jarak dari kereta pelancong ke balai polis adalah kira-kira 2km dan tambang yang sepatutnya dikenakan adalah ฿‎100 (RM12.40) untuk perjalanan pergi dan balik.

Khaosod melaporkan Inspektor Polis Trafik Sittichai Pradap telah menahan penunggang motosikal, Noppakhun Nuchmuang, 52.

Noppakhun pada mulanya menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan pelancong Malaysia itu gembira memberinya ฿‎500 sebagai tip. Dia kemudian mengakui kesalahannya selepas polis memberitahunya dia boleh dipenjarakan kerana membuat kenyataan palsu.

Noppakhun mendedahkan dia tidak menerima seorang penumpang pada hari kejadian. Sebaik sahaja melihat pelancong dari Malaysia yang terkandas itu, dia menawarkan perkhidmatan dengan bayaran tinggi.

Tambah Noppakhun, dia tidak mengugut pelancong berkenaan selain mendakwa, dia merupakan pemandu yang membayar cukai serta kali pertama melakukan kesalahan itu.

Penunggang teksi itu berkata, dia kesal dan ingin memohon maaf kerana merosakkan reputasi baik daerah Hat Yai. Noppakhun didakwa mengikut Seksyen 159 Akta Pengangkutan Darat dan berdepan hukuman denda sehingga ฿‎5,000 (RM618.76). 

Polis menambah mereka sedang mempertimbangkan untuk menggantung lesen pengangkutan awamnya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here