Terowong Kuantan ECRL 2.8km ditembusi dua bulan lebih awal

719

Terowong Kuantan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 2.8km berjaya ditembusi dua bulan lebih awal dari jadual dan menjadikannya terowong ke-12 melengkapkan proses pengorekan sehingga hari ini.

Letupan terakhir di Terowong Kuantan hari ini menembusi lapisan akhir kira-kira 1,700 meter dari portal masuk terowong.



Jika mengikut jadual, proses penembusan Terowong Kuantan yang mempunyai purata ketinggian 11.89 meter dan kelebaran 13.26 meter itu dijangka siap Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek ECRL mencapai satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Kuantan yang merupakan terowong terpanjang antara 12 buah terowong yang berjaya ditembusi.

“Hasil dari komitmen dan kerjasama oleh 170 kakitangan ECRL di semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja terowong membawa kepada penembusan Terowong Kuantan lebih awal dari jadual.

“Kami juga berbangga dengan usaha tenaga kerja ECRL kerana berjaya melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dan batuan sedalam 380,000 meter padu secara selamat dengan pergerakkan tanah yang minima,” katanya.

Darwis berkata, kejayaan penembusan 12 buah terowong sehingga hari ini membuktikan keupayaan pasukan projek dalam menangani cabaran-cabaran daripada segi kejuruteraan dan menerima pakai teknologi terowong yang canggih. 

Beliau turut berkongsi bahawa tambahan tiga buah terowong ECRL yang sedang menjalani kerja-kerja pengorekan dijangka siap ditembusi pada hujung tahun ini.

Sebagai rekod, terowong pertama projek ECRL yang berjaya ditembusi enam bulan lebih awal adalah Terowong Paka sepanjang 1.1km di Terengganu pada bulan April 2021.

Selain itu, sembilan dari 12 buah terowong yang berjaya ditembusi adalah di negeri ini, dua di negeri Terengganu dan satu terletak di antara Pahang dan Terengganu. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here